suria

Ekuinas Akan Senarai Al-Ikhsan Di Bursa Malaysia Dalam Tempoh 3-5 Tahun

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), yang menguasai 35 peratus kepentingan dalam Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd awal tahun ini, merancang menyenaraikan peruncit pakaian sukan tempatan itu di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penyenaraian itu akan membolehkan Ekuinas menyelesaikan proses pelupusan dan meraih keuntungan pelaburannya.

"Tujuan pengambilalihan ini bertujuan menyenaraikan Al-Ikhsan di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan membolehkan Equinas meraih keuntungan ke atas pelaburannya," katanya menjawab pertanyaan Datuk Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) di Dewan Rakyat, Rabu.

Pada 26 Julai, Ekuinas, syarikat pengurusan dana ekuiti swasta berkaitan kerajaan, mengumumkan pengambilalihan kepentingannya dalam Al-Ikhsan, pembabitan pertama dalam segmen peruncitan sukan, membabitkan bayaran sebanyak RM68.6 juta.

Abdul Rahman berkata Ekuinas dijangkakan membelanjakan sehingga RM400 juta tahun depan, menerusi rizab dalaman dan hasil daripada penjualan dalam aset matang.

Beliau berkata pelaburan Ekuinas akan berfokuskan kepada pendidikan, minyak dan gas, penjagaan kesihatan, barangan pengguna yang cepat laris, peruncitan serta sektor pelancongan.

Ekuinas ditubuhkan pada September 2009 bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi.

Sehingga Jun 2016, ia menerima suntikan pembiayaan RM3.9 bilion daripada kerajaan.

Menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) mengenai sumbangan Ekuinas kepada kerajaan sejak penubuhannya, Abdul Rahman berkata pelaburan fasa pertama dan kedua, masing-masing dilancarkan pada 2010 dan 2012, mencatat kadar pulangan dalaman sebanyak 14.8 peratus dan 13 peratus pada akhir 2015.-- Bernama

 
Al-Ikhsan, Ekuinas, Bursa Malaysia

Artikel Lain