suria

Agrobank Agih Pembiayaan Tertinggi Bernilai RM8.44 Bilion

IPOH: Agrobank mengagihkan pembiayaan tertinggi bernilai RM8.44 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2016, pertumbuhan sebanyak 13.4 peratus berbanding 3.3 peratus yang dicatat pada tempoh sama 2015.

Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata daripada jumlah itu, RM5.1 bilion atau 59.9 peratus merupakan pembiayaan kepada sektor pertanian primer.

"Daripada sektor primer ini, RM3.1 bilion merupakan pembiayaan kepada segmen agro makanan," katanya kepada pemberita pada program perkongsian maklumat berkenaan prospek dan peluang dalam pertanian anjuran Agrobank di sini, Selasa.

Beliau berkata prestasi itu satu pencapaian yang amat membanggakan, memandangkan walaupun keadaan ekonomi dunia mencabar namun Agrobank masih mampu meneruskan momentum kekal kukuh dalam industri.

Mohamad Zabidi berkata, Perak merupakan negeri berpotensi besar dalam industri pertanian.

Beliau berkata agihan pembiayaan Agrobank kepada Perak bagi sembilan bulan pertama 2016 adalah sebanyak RM938.9 juta atau 11 peratus daripada nilai keseluruhan pembiayaan bank tersebut.

Daripada jumlah itu, industri tanaman mencatatkan nilai pembiayaan terbanyak iaitu RM449.75 juta atau 48 peratus, dengan tanaman kelapa sawit menerima agihan pembiayaan tertinggi bernilai RM185.17 juta, katanya.

Beliau berkata Agrobank mengagihkan nilai pembiayaan sebanyak RM756.32 juta bagi Perak dalam tempoh sama 2015.

Perak juga mencatatkan pertumbuhan 66.79 peratus bagi nilai deposit iaitu melebihi RM359 juta untuk tempoh yang sama 2016, berbanding RM215 juta, tempoh sama tahun lepas, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabidi berkata Agrobank melantik 284 ejen  di seluruh negara menerusi perkhidmatan Ejen Perbankan (AgroAgent) yang kebanyakannya terdiri daripada Pertubuhan Peladang Kawasan, Persatuan Nelayan Kawasan dan Kedai Agrobazaar.

Sejak ia dilancarkan Disember 2014, perkhidmatan itu telah merekodkan lebih  157,142 transaksi dengan nilai melebihi RM101.1 juta.

"Sebanyak 35 ejen telah dilantik untuk memberi perkhidmatan di Perak dan seramai 24 lagi akan dilantik pada hujung tahun ini, menjadikan keseluruhan AgroAgent di Perak sebanyak 59 orang," katanya.

Pada majlis itu, Mohamad Zabidi turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga Ejen Perbankan dengan prestasi terbaik di Perak iaitu M.M.S Sinar Enterprise (Agrobazaar Kedai Rakyat), Abd Aziz Jamal (Agrobazaar Kedai Rakyat) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bagan Datoh.

Artikel Lain