suria

Syarikat Malaysia Jana Jualan RM75 Juta Sepanjang ABT 2016

Mustapa (dua dari kiri) melawat gerai pameran ketika meninjau sekitar ekspo ABT 2016 di Kota Baru baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia menjana jualan bernilai RM75 juta (AS$17.2 juta) sepanjang acara Asean Border Trade 2016 (ABT 2016).

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), jualan tersebut diraih melalui dua komponen utama acara berkenaan, iaitu pameran perdagangan dan Program Penyumberan Antarabangsa.

Program Penyumberan Antarabangsa menjadi aktiviti padanan perniagaan yang popular bagi acara itu.

ABT 2016 yang berlangsung di Kota Baharu, Kelantan baru-baru ini menyaksikan penyertaan China serta negara Asean iaitu Thailand, Myanmar, Singapura, Indonesia dan Brunei.

"Pencapaian itu merupakan petunjuk kukuh kepada keterbukaan syarikat Malaysia, terutama dari Pantai Timur, dalam penyepaduan aktiviti perdagangan sempadan negara Asean," menurut Matrade dalam kenyataan, Isnin.

ABT 2016 menerima 3,711 pengunjung dengan 119 gerai dimanfaatkan syarikat Malaysia dan Asean, di samping lebih 250 pertemuan perniagaan diatur untuk syarikat negara ini.

Produk utama yang menjadi tumpuan termasuk kopi pracampuran, teh dan koko, produk tenusu dan konfeksi.

Wilayah Asia Tenggara masih kekal sebagai rakan dagang penting kepada Malaysia dengan perdagangan pada 2015 bernilai US$102.87 bilion, peningkatan 3.2 peratus berbanding 2014.

Sementara itu, eksport ke Asean pada 2015 berjumlah 28.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia. Bagi lapan bulan pertama 2016, eksport ke Asean meningkat 5.6 peratus.

Bagi Asean, perdagangan sempadan berkembang pesat pada masa kini, iaitu antara wilayah utara Malaysia dan selatan Thailand; Indonesia dan Sarawak serta  Sabah dan Filipina, serta sempadan Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos dan Vietnam.

Mengikut pasca Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean 2015, satu daripada bidang tumpuan ialah meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara negara Asean, dengan memajukan aktiviti perdagangan sempadan, menurut Matrade.

Matrade berkata, kedudukan geografi sempadan di banyak negara Asean boleh menjadi pemangkin untuk pedagang dan peniaga tempatan menjalankan lebih banyak perniagaan rentas sempadan.

"Contohnya, pada 2015, nilai perdagangan sempadan antara Malaysia dan Thailand sebanyak US$13.8 bilion atau 62.4 peratus daripada keseluruhan perdagangan dengan negara itu," menurutnya.-- Bernama


Mustapa Mohamed, ABT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain