suria

Maybank Indonesia Terus Kembangkan Portfolio PKS

KUALA LUMPUR: PT Bank Maybank Indonesia Tbk akan meningkatkan lagi penglibatannya dalam membiayai projek-projek infrastruktur termasuk memperkembangkan portfolio perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden Pengarah Taswin Zakaria berkata, ini adalah selaras dengan agenda pembangunan ekonomi kerajaan. 

"Melalui keluasan liputan dan keupayaan serantau, kami percaya kami dapat memanfaatkan sumber syarikat untuk menyokong agenda pertumbuhan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Maybank Indonesia terus menyaksikan pertumbuhan di peringkat operasi dalam tempoh sembilan bulan pertama 2016, dan mampu mencatatkan keputusan yang memberangsangkan bagi mengakhiri tahun ini walaupun persekitaran  pasaran agak mencabar.

Antara Januari-September 2016, Maybank Indonesia mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai dan faedah minoriti berjumlah Rp1.3 trilion, naik sebanyak  118.4 peratus daripada Rp592.2 bilion yang dicapai dalam tempoh yang sama tahun lepas (RM1 = Rp3,117.29).

Keuntungan sebelum cukai bank melonjak sebanyak 123.7 peratus sehingga mencecah Rp1.8 trilion pada September 2016 berbanding Rp784 bilion yang dicatatkan pada September 2015.

Pertumbuhan pinjaman komersil dan PKS terus menjadi tulang belakang dalam menjana pendapatan dengan merekodkan pertumbuhan sebanyak 14.7 peratus kepada Rp48.7 trilion. 

Pendapatan faedah bersih, peningkatan pendapatan berasaskan yuran, usaha pengurusan kos yang berterusan serta pencapaian yang cemerlang dalam industri perbankan Syariah turut menyumbang kepada prestasi keseluruhan bagi tempoh tersebut.

Perbankan Syariah terus mencatatkan prestasi yang cemerlang dalam tempoh sembilan bulan tahun 2016. Keuntungan bersih meningkat sebanyak 43.9 peratus kepada Rp344 bilion.

Bank itu, bagaimanapun, merekodkan pertumbuhan pinjaman yang sederhana sebanyak 4.4 peratus pada September 2016 kepada Rp116.4 trilion daripada Rp111.5 trilion dalam September 2015.-- Bernama


Maybank, Indonesia, Taswin Zakaria

Artikel Lain