suria

MRT Corp Unjur RM2.5 Juta Hasil Tahunan Daripada Ruang Runcit Di Stesen

SERI KEMBANGAN: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengunjurkan hasil tahunan sebanyak RM2.5 juta menerusi penyewaan ruang runcit di 19 stesen bertingkat di sepanjang Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK), yang dijadual dilancarkan pada 15 Disember.

Pengarah Pengurusan Komersial dan Tanahnya Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata 15 daripada 49 pembida yang mengemukakan 223 permohonan untuk menyewa ruang runcit, memenangi bidaan itu pada April lepas.

"Penyewaan tetap berasaskan lokasi stesen dari RM1,200 hingga RM3,500 bagi lot 200 kaki persegi.

"Lima puluh peratus syarikat akan beroperasi pada Disember, dan selebihnya dari Julai tahun depan," katanya kepada pemberita semasa mengumumkan nama syarikat yang berjaya, di sini, Khamis.

Beliau berkata daripada 15 syarikat itu, 10 merupakan jenama tempatan dengan 44 peratus premis dikendalikan oleh usahawan Bumiputera, termasuk seorang pengusaha kelainan upaya, dengan bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Antara kriteria pemilihan jenama ialah syarikat mesti sudah berada dalam pasaran sekurang-kurangnya tiga tahun, memiliki pengalaman dan standard dalam pengendalian jumlah pelanggan yang ramai.

"Kontrak membabitkan tempoh dua tahun, boleh diperbaharui berdasarkan prestasi," kata Haris Fadzilah.

Antara jenama runcit antarabangsa ialah Watsons, 7-Eleven dan Family Mart, manakala jenama tempatan terdiri daripada myNews.com, Noras Delight dan Rotiboy.

Pada majlis itu, wakil 15 syarikat menerima Buku Panduan Peruncit daripada Haris Fadzilah, yang mengandungi butiran mengenai premis terbabit, perkara yang boleh dilakukan atau sebaliknya, bagi memastikan pengalaman runcit MRT secara kolektifnya dapat dicapai.

Bidaan tender untuk pusingan seterusnya akan dibuka pada akhir tahun bagi tujuh stesen bawah tanah MRT di pusat bandar raya. -- Bernama

 

MRT Corp, Haris Fadzilah Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain