suria

Mexico Berhasrat Eksport Lebih Banyak Produk Pertanian Ke Malaysia - Duta

Felix Corona

KUALA LUMPUR: Mexico berhasrat mengeksport lebih banyak produk pertanian ke Malaysia dalam usaha mempertingkat hubungan dua hala, yang wujud sejak 42 tahun lalu.

Duta Mexico ke Malaysia Carlos Felix Corona berkata negara itu berharap produk pertanian utamanya seperti avokado (yang kini tidak dibenar memasuki  negara ini atas sebab-sebab teknikal), tomato dan lemon boleh didapati di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

"Kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Pertanian di Malaysia. Kami berharap dalam tempoh enam bulan akan datang, kami akan mencapai beberapa kemajuan berkaitan teknikal supaya produk ini boleh menembusi pasaran Malaysia," kata Corona kepada Bernama di ibu pejabat agensi berita itu di sini, Rabu.

Beliau berkata atas alasan "fitosanitario" (sijil keselamatan dan kesihatan), Mexico telah membentangkan perakuan yang diperlukan kepada pihak berkuasa Malaysia bagi membolehkan ia mengeksport produknya selepas hasil pertanian negara itu terjejas akibat diserang sejenis penyakit.

"Oleh itu, kita perlu memberikan maklumat teknikal dengan data saintifik kepada pihak berkuasa Malaysia berkaitan perkara ini. Kami sedang mengusahakannya dan kami melakukan perkara yang sama dengan Jepun dan Korea Selatan," katanya sambil menambah avokado negara itu telah dieksport ke Jepun, Korea Selatan, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Corona berkata Mexico juga bercadang untuk memperluas serta mendalami industri halal, yang menurut beliau merupakan satu komponen penting bagi membolehkan Mexico mengintai pasaran populasi Islam yang besar di AS.

Usaha sama antara syarikat Mexico dan Malaysia juga boleh dibentuk bagi menembusi pasaran Amerika, katanya.

Selain itu, beliau berkata secara geografi Mexico adalah jambatan antara Amerika Utara dan Amerika Latin, dan menerusi perjanjian perdagangan bebas dengan 45 negara, ia mampu menyediakan peluang luas kepada syarikat Malaysia untuk mengakses pasaran yang lebih besar.

Corona berkata ketika ini tiga syarikat Mexico membuat pelaburan di Malaysia iaitu Mission Foods, sebuah anak syarikat Gruma iaitu syarikat multinasional yang mengilang tepung jagung dan mengeluarkan tortilla; Cemex, sebuah syarikat berpangkalan di Mexico yang membekalkan konkrit siap campur untuk fasa pertama projek Aliran Transit Massa (MRT); dan KidZania, satu rangkaian pusat hiburan keluarga milik persendirian.

Mengulas sama ada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Mexico kini mengintai pasaran Malaysia, beliau berkata perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan membawa kepada kemungkinan itu dan menambah sebagai anggota TPP, kedua-dua negara mempunyai "hubungan penting."

Bagaimanapun, Corona berkata meskipun tanpa TPP, Malaysia adalah rakan kongsi perdagangan kesembilan terbesar Mexico, pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara serta keempat di Asia, dan merupakan pembekal industri ketujuh terbesar Mexico, dengan nilai dagangan sebanyak US$7.5 bilion.

Menyentuh bidang yang mampu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala, beliau berkata Mexico dan Malaysia perlu terus berusaha dan memfokus kepada bidang tertentu selain memanfaatkan kekuatan satu sama lain seperti dalam industri elektronik, automotif dan aeroangkasa.

Corona berkata Mexico dan Malaysia berdepan cabaran yang sama seperti modal insan, tenaga kerja mahir, inovasi serta teknologi.

Oleh itu, katanya, kedua-dua negara perlu melakukan pembaharuan dalam bidang terbabit dan bukan hanya memfokus kepada perjanjian perdagangan bebas.

Beliau juga berkata Mexico boleh belajar daripada usaha Malaysia dalam mengurangkan kadar kemiskinan dan menjalin silaturrahim yang baik dengan China.

Pada masa yang sama, Malaysia boleh menggunakan Mexico sebagai platform untuk menembusi pasaran AS memandangkan negara itu memiliki kepakaran serta hubungan perdagangan bernilai lebih US$500 bilion dengan AS.

Artikel Lain