Bajet 2017 Akan Mencergaskan Ekonomi Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 19 Oktober 2016 4:12 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bajet 2017 akan terus mencergaskan ekonomi Malaysia, walaupun dilihat sebagai yang paling mencabar bagi Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini sejajar dengan kedudukan ekonomi Malaysia yang terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi dunia, dengan pertumbuhan empat peratus pada suku kedua tahun ini, merupakan tahap pengembangan paling perlahan sejak suku ketiga 2009 ketika kemuncak krisis kewangan global.

Najib membayangkan kerajaan perlu kreatif dalam menangani kekangan untuk terus menyokong kebajikan rakyat dan menyediakan seberapa banyak bantuan, dalam Bajet 2017.

Oleh itu, kebimbangan rakyat akan ditangani dengan sewajarnya.

KEWANGAN KERAJAAN

Kerajaan perlu mengurus kewangan secara berhemat, dari segi hutang dan defisit fiskal, ekoran unjuran pembayaran dividen yang lebih rendah oleh Petroliam Nasional Bhd dan kutipan cukai yang lebih rendah tahun depan.

Kerajaan juga komited mengurangkan defisit bajet kepada 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, seperti yang dibentangkan dalam pengubahsuaian bajet oleh Najib pada Januari semasa harga minyak mentah sekitar  US$30 setong.

Pada harga minyak sekitar US$51 setong sekarang, ia memberikan kerajaan lebih kapasiti bagi meningkatkan perbelanjaan bajet, namun perlu berhemat memandangkan kedudukan kewangan masih dalam kedudukan sukar disebabkan ekonomi yang perlahan.

MIDF Research dalam laporannya yakin sasaran defisit 3.1 peratus itu boleh dicapai menerusi pelbagai langkah yang dilaksanakan setakat ini bagi menurunkan perbelanjaan dan melaksanakan projek pembangunan berasaskan keutamaan.

Risikonya ialah perdagangan dunia dan ekonomi terus lemah yang menjadi halangan utama kepada ekonomi Malaysia.

PERTUMBUHAN EKONOMI

Berikutan ekonomi dunia yang terus lemah, wujud tekanan dari segi import dan akaun semasa yang akan terus menjejaskan ekonomi dan usaha kerajaan Malaysia untuk meneruskan perbelanjaan pembangunan.

Ekonomi Malaysia dijangkakan tumbuh 4.0-4.5 peratus tahun ini berbanding  5.0 peratus tahun lepas, selari dengan cabaran global, antara lain, angka perdagangan dan ekonomi China yang perlahan, pasaran pekerjaan AS yang lemah, kedudukan ekonomi di zon Euro yang rapuh serta impak pengundian UK untuk meninggalkan blok berkenaan.

Kadar faedah AS yang dijangkakan meningkat juga akan meningkatkan risiko pengalian keluar modal.

HSBC Global Research dalam laporan mengenai ekonomi Asia menyatakan bahawa risiko pengaliran keluar modal juga menjadi semakin ketara disebabkan lebihan akaun semasa semakin menyusut berbanding jangkaaan setakat tahun ini.

Berdasarkan kekangan fiskal, bajet yang dibentangkan pada 21 Okt ini antara lain dijangkakan mengandungi langkah terhad yang sama untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti Bajet 2016.

PERUNTUKAN PERBELANJAAN

Bagaimanapun, persekitaran ekonomi global yang masih rapuh akan memaksa kerajaan meningkatkan peruntukan bagi merangsang permintaan domestik dan perbelanjaan pengguna.

Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, kekangan fiskal akan menyaksikan keperluan untuk memberi keutamaan perbelanjaan ke atas bidang teras yang penting yang akan menjamin keselamatan sosial serta menjana pertumbuhan perniagaan dan pekerjaan.

"Dengan had ke atas perbelanjaan, terdapat keperluan untuk menangguhkan projek yang tidak memberi kesan segera ke atas ekonomi," kata Yeah dalam temu bual dengan Bernama.

Bagi memaksimumkan kesan ke atas perbelanjaan, beliau juga mencadangkan kerajaan melaksanakan projek perkongsian awam-swasta.

Yeah menyokong pelepasan cukai atau pemotongan cukai untuk pertengahan 40 peratus isi rumah atau kumpulan M40 bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Peruntukan untuk perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan latihan, katanya, adalah amat penting bagi menyokong isi rumah di bawah 40 peratus atau  kumpulan B40 itu.

Kategori M40 terdiri daripada mereka yang berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 sebulan manakal kategori B40 yang berpendapatan dari RM3,855 dan ke bawah.

Bagaimanapun, jangkaan pertumbuhan ekonomi empat hingga 4.5 peratus tahun ini akan terus memberikan peningkatan sederhana kira-kira tiga hingga empat peratus dalam pendapatan kerajaan, kata Yeah dengan menambah, pendapatan tahun depan akan disokong oleh prospek cerah dalam ekonomi global.

Beliau melihat keperluan untuk menawarkan pelbagai insentif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan keyakian pelabur, di samping menegaskan yang rancangan mengumpul dana melalui lelongan spektrum telekomunikasi juga akan meningkatkan tabungan negara.

FOKUS TERHADAP PKS

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perisian Senarai Gaji Dalam Talian  PayrollPanda.my, Toine Vaessen berharap bajet akan datang akan memberi tumpuan kepada membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berikutan sumbangannya yang semakin meningkat bagi merangsang ekonomi.

"PKS adalah nadi ekonomi, menggunakan lebih 65 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia dan menyumbang 36.3 peratus daripada keseluruhan KDNK," kata Vaessen kepada Bernama.

Dalam satu kajian yang dijalankan PayrollPanda.my baru-baru ini mengenai keadaan ekonomi Malaysia, beliau berkata, ramai pembuat keputusan PKS merasakan ekonomi digital akan menawarkan banyak peluang untuk PKS.

Oleh itu mereka ingin melihat bajet akan datang memberi tumpuan untuk membantu PKS dengan transformasi digital ini dari segi infrastruktur, pelaburan, latihan, insentif cukai serta pelbagai inisiatif kerajaan yang lain.

Beliau berkata, walaupun ekonomi ketika ini lembap, PKS tetap positif mengenai prospek jangka panjang Malaysia.

"Ini menunjukkan pemilik PKS percaya kita sedang melalui tempoh yang sukar sebelum ekonomi kembali pulih," katanya.

"Asas untuk ekonomi Malaysia yang kukuh, iaitu kestabilan, kepelbagaian dan  ketahanan masih wujud. Pertumbuhan KDNK kini serendahempat peratus dan pembuat keputusan PKS menjangka kita akan kembali mencatat enam peratus dalam beberapa tahun akan datang," tambahnya.

JANGKAAN BAJET

Bajet 2017 juga dijangka merancakkan lagi momentum perkembangan tahunan bagi mencapai matlamat penggal pertengahan yang ditetapkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Ia juga dijangka menyasarkan kumpulan B40 dan M40 dan kerajaan dilihat akan meneruskan usaha membantu kebajikan kumpulan berkenaan menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) serta menangani kebimbangan mengenai perumahan mampu milik.

RHB Research dalam nota penyelidikannya, menjangkakan peningkatan peruntukan BR1M akan ditambah bagi merangsang perbelanjaan pengguna.

Firma penyelidikan itu juga percaya kerajaan akan mengumumkan perbelanjaan bajet lebih tinggi bagi 2017 berbanding pada tahun lepas.

Bagi menggalakkan usaha pemilikan rumah, kerajaan berkemungkinan bertindak melonggarkan kaedah penilaian pinjaman, meningkatkan pengeluaran caruman Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta memperkenalkan lebih banyak skim Perumahan Rakyat 1Malaysia.

KEBIMBANGAN RAKYAT:

Antara kebimbangan disuarakan menyentuh aspek gaji lebih rendah serta pengurangan peruntukan bagi pendidikan pada tahun lepas.

Menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), gaji rendah serta pengangguran belia sememangnya membimbangkan selain peningkatan mendadak harga makanan berbanding inflasi secara menyeluruh.

Malah, berdasarkan laporan Keadaan Isi rumah II KRI membabitkan pembangunan kesejahteraan isi rumah bagi tempoh antara 2012 dan 2014, pertumbuhan pendapatan isi rumah Malaysia tidak dipacu oleh pertumbuhan gaji dan pendapatan.

Bagi tempoh 2012 hingga 2014, purata pendapatan isi rumah meningkat kepada Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) masing-masing sebanyak 10.8 peratus dan 12.4 peratus, namun kadar pertumbuhan nominal gaji dan pendapatan terbukti  lebih perlahan pada 3.3 peratus.

Berdasarkan statistik baru-baru ini, median gaji di Malaysia pada 2015 adalah RM1,600 sebulan.

Ia turut membangkitkan aspek kewangan isi rumah yang terus berdepan tekanan dengan nisbah hutang isi rumah daripada KDNK adalah 89.1 peratus pada 2015 yang mana sebahagian besar beban hutang itu membabitkan pembiayaan bagi pembelian  rumah.

Laporan KRI itu turut menunjukkan pekerjaan yang berteraskan kemahiran menawarkan gaji lebih tinggi, namun banyak syarikat Malaysia sebaliknya mengakui berdepan kesukaran mendapatkan modal insan yang memiliki kepakaran sedemikian.

Bank Dunia telah menyatakan keperluan untuk pembaharuan struktur dalam Malaysia ekonomi terutamanya dalam modal insan, liberalisasi dan daya saing selaras dengan aspirasi negara untuk bergerak ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi,

Oleh itu, Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan dan melihat kebimbangan yang dibangkitkan berikutan laporan Forum Ekonomi Dunia 2016-2017 baru-baru ini, yang menunjukkan penurunan ranking daya saing global Malaysia pada kedudukan ke-25 daripada 18 pada tahun lepas.

Masih terdapat keperluan untuk melihat bidang yang memerlukan perhatian lanjut dan penambahbaikan bagi meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur termasuk kepentingan amalan tadbir urus untuk menghalang sebarang kemungkinan ketirisan dalam kewangan dan bajet kerajaan.

Dalam Bajet 2016, peruntukan berjumlah RM267.2 bilion, dengan RM215.2 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM50 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan baki RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Sementara itu, bajet yang ubah suai, telah menggariskan 11 langkah penyusunan semula untuk memastikan ekonomi dan kewangan kekal pada trajektori yang tepat.

Mengenai perbelanjaan pembangunan, tumpuan akan diberikan kepada projek-projek dan program dengan kesan pengganda yang tinggi, kandungan import yang rendah dan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.

Projek-projek yang akan diberi keutamaan termasuk pembinaan rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta keselamatan manakala projek lain dalam kajian akan dijadualkan semula.

Langkah ini dijangka dapat mengurangkan komitmen tunai sehingga RM5 bilion.

RHB Research menganggarkan peruntukan sebanyak RM45 bilion dalam perbelanjaan pembangunan kasar bagi 2017, lebih rendah daripada unjuran RMK11 tetapi masih jauh lebih tinggi daripada anggaran sebanyak RM40 bilion pada 2016.

"Peningkatan dalam perbelanjaan pembangunan kasar berkemungkinan akan memberi manfaat kepada industri pembinaan secara umum dan mengurangkan kesan daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan serta perbelanjaan modal yang lebih perlahan oleh perniagaan berikutan harga minyak yang rendah dan persekitaran ringgit lemah," kata RHB Research.

Antara projek-projek infrastruktur yang dirancang atau sedang dilaksanakan termasuk projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura (RM34.8 bilion), Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang (MRT2) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) (masing-masing RM36 bilion dan RM9 bilion), landasan keretapi dari Gemas ke Johor Bharu sepanjang 197 kilometer, lebuh raya Pan Borneo di Sarawak dan rancangan pembinaan ribuan kilometer jalan baru di kawasan luar bandar.

"Bagaimanapun, sesetengah projek infrastruktur ini seperti projek MRT dan LRT, dilaksanakan melalui pembiayaan yang tidak dimasukkan dalam imbangan kira-kira," jelas RHB Research.

Oleh itu, pada asasnya, Bajet 2017, akan berusaha untuk memenangi hati rakyat semasa keadaan yang tidak menentu berikutan faktor luaran, sebagaimana kata-kata Presiden Amerika Syarikat Abraham Lincoln, "semua manusia berhak mendapat peluang yang sama untuk meraih kekayaan ".

Bajet 2017 tentunya akan mencergaskan lagi negara dan ekonomi.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan