suria

Unit DBHD Akan Bangun Projek Perumahan Penjawat Awam Di Putrajaya

KUALA LUMPUR: Damansara Realty (Johor) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Damansara Realty Bhd (DBhd) akan membangunkan projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Putrajaya.

Damansara Realty (Johor) hari ini memterai perjanjian dengan Putrajaya Corporation (PJC) bagi usaha niaga itu yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM467.3 juta.

Projek tersebut yang merangkumi kawasan seluas 4.82 hektar terdiri daripada 1,350 unit kediaman dan 45 unit komersial di Presinct 5 dan dijangka siap pada akhir 2019, kata DBhd dalam satu kenyataan.

Ia juga berkata hasil daripada projek PPA1M akan diambil kira dalam tahun kewangan semasa yang berakhir 31 Dis, 2016, dan dijangka meningkat dengan ketara dalam tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DBhd, Brian Iskandar Zulkarim berkata syarikat itu yakin dengan kadar pembelian yang tinggi memandangkan lokasi strategik projek tersebut.

"Faktor pengurangan risiko adalah apa yang dipersetujui PJC untuk membeli mana-mana baki unit yang tidak terjual selepas tempoh tertentu.

"Projek ini akan memainkan peranan penting dalam usaha Damansara Realty untuk merancakkan perniagaan pembangunan hartanahnya di pelbagai kawasan di Malaysia," katanya. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain