suria

Matrade Sasar Produk Kecantikan Sumbang Lima Peratus Kepada Eksport

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjangka eksport produk kecantikan di bawah industri gaya hidup meningkat sekurang-kurangnya lima peratus pada tahun ini berbanding RM1.124 bilion pada tahun lepas.

Pengerusi Datuk Noraini Ahmad berkata Matrade yakin dapat memenuhi sasaran itu berdasarkan inisiatif yang disediakan kerajaan.

"Bagi lapan bulan pertama tahun ini, eksport produk kecantikan adalah RM809 juta, dan dengan kualiti produk yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan, kita dapat mencapai lima peratus itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Kecantikan 2016 di sini, Jumaat.

Beliau berkata ia merupakan sektor baharu yang diberi tumpuan oleh negara untuk mengukuhkan ekonomi.

"Seterusnya, kami akan meneroka segmen halal yang menawarkan pasaran lebih besar berikutan produk kecantikan dan kosmetik halal semakin popular dalam kalangan penduduk Islam di seluruh dunia.

"Bagaimanapun, produk halal tidak terhad kepada orang Islam sahaja kerana konsep halal memberi penekanan yang khusus kepada aspek kebersihan dan keselamatan semasa pengeluaran produk," katanya.

Noraini turut menggesa syarikat tempatan dari industri tersebut supaya mengambil peluang daripada acara hari ini sebagai platform untuk memperkenalkan produk dan jenama mereka kepada pengguna.

Beliau juga berkata produk kosmetik dan kecantikan tidak lagi khusus untuk wanita berikutan ramai lelaki yang menitikberatkan penampilan peribadi mereka, sekali gus meluaskan pasaran sasaran.

Ekspo Kecantikan Ke-16 yang diadakan selama empat hari bermula hari ini, merupakan anjuran UBM Asia dan menampilkan 443 jenama daripada 200 syarikat di 22 buah negara.-- Bernama 


Artikel Sebelum

Artikel Lain