suria

Boeing, Qatar Airways Umum Tempahan 40 Pesawat 787-9, 777-300ER

KUALA LUMPUR: Boeing dan Qatar Airways pada 7 Oktober lepas mengumumkan tempahan bagi 30 pesawat 787-9 Dreamliners dan jenis 10 777-300ER bernilai US$11.7 bilion pada senarai harga, sekaligus memperakui  nilai, prestasi dan kemampuan kapal terbang berkenaan.

Syarikat penerbangan itu turut memeterai Surat Hasrat bagi tempahan sehingga 60 buah 737 MAX 8 bernilai US$6.9 bilion, kata Boeing dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pengumuman ini mengukuhkan lagi kekuatan Qatar Airways sedia ada yang memiliki 84 pesawat Boeing jenis 787 dan 777 yang diterimanya sejak sembilan tahun lepas.

Menerusi tempahan baharu itu juga, Qatar Airways turut meningkatkan tempahan tertunda daripada 65 kepada 105 pesawat besar Boeing termasuk 60 jenis 777X.

Pengumuman itu dibuat pada satu majlis yang turut dihadiri Menteri Kewangan  Qatar Ali Shareef Al Emadi, Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Tony Blinken serta Duta Qatar ke negara itu, Mohammed Jaham Al-Kuwari.

"Qatar Airways yang merupakan antara syarikat penerbangan paling pesat  dalam sejarah penerbangan, hari ini mengumumkan tempahan pesawat yang signifikan dan bermakna bagi memacu pertumbuhan syarikat untuk tahun-tahun serta dekad akan datang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akbar Al Baker dalam kenyataan itu.

Menurutnya, Boeing terbukti menjadi rakan bernilai dan pengumuman itu menjadi bukti penghargaan terhadap kualiti produk serta dedikasi mereka untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan bertaraf dunia.

Hubungan Qatar Airways dan Boeing diperbaharui pada 2006 dan disusuli pelbagai pencapaian bermakna bagi kedua-dua syarikat berkenaan.

Qatar Airways muncul syarikat penerbangan pertama mengendalikan pesawat 787 di Asia Barat dan juga yang pertama bagi 777X.

Menerusi komitmen bagi pembelian 737 MAX 8, ia adalah pesawat Boeing jenis satu laluan tempat duduk yang menyertai kekuatan Qatar Airways sejak lebih 15 tahun lepas.

"Selain memaparkan kepentingan bagi kedua-dua syarikat, perjanjian ini turut mencerminkan kepentingan pakatan komersial global bagi mengukuhkan hubungan dua hala kami. Ia juga dapat meningkatkan peluang serta mewujudkan peluang kerja," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pesawat Komersial Boeing, Ray Conner, berkata pihaknya berbangga mempunyai pelanggan dan peneraju pasaran seperti Qatar Airways.

"Ia tidak hanya terus memberi pengiktirafan terhadap produk semasa kami, tetapi turut meyakini teknologi baharu Boeing yang menjadi sebahagian kekuatan 777X dan MAX," katanya.

Pesawat 777-300ER adalah yang paling diyakini untuk jenis dua lorong tempat duduk dan pemilikannya merupakan kebanggaan untuk penerbangan elit dunia.

Ia memiliki kebolehmampuan tertinggi berbanding pesawat jenis dua laluan  pada kadar 99.5 peratus dan sentiasa tepat pada masanya di kebanyakan waktu.

Pesawat jenis 787-9 Dreamliner pula adalah yang kedua dalam edisi 787 yang amat cekap dan mengutamakan para penumpangnya.

Pesawat jenis 787-9 yang juga edisi lanjutan daripada 787-8, mampu membawa seramai 290 penumpang sejauh 14,140 kilometer selain menempatkan lebih banyak muatan dan boleh meningkatkan laluan yang disediakan oleh 787-8.

Kapal terbang jenis terbaharu Boeing dalam siri satu lorong - 737 MAX 7, 737 MAX 8, 737 MAX 9 dan 737 MAX 200 berteraskan kemampuan dan populariti Generasi Baharu 737 selain menawarkan pelanggannya aspek cekap tenaga bagi pasaran pesawat satu lorong dan penghantarannya dijadual bermula pada 2017.

Boeing, Qatar Airways

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain