suria

Dapor Dinda Sedia Tembusi Pasaran Luar Negara

Gambar ihsan Dapor Dinda

SUNGAI PETANI: Walaupun baru setahun dikomersialkan, namun produk 'Dapor Dinda' keluaran Ana Salwa Resources, yang menyediakan menu sedia dimakan, sudah bersedia untuk menembusi pasaran luar negara.

Pengasasnya Huzana Salwa Mat Hussain, 49, berkata empat jenis produk keluarannya sudah berada di pasaran iaitu daging dendeng, sambal berapi ikan masin dan bilis berapi yang sedia untuk dimakan serta satu lagi berupa pes 'shell out'.

"Sambutan yang diterima dalam tempoh setahun ini amat menggalakkan, terutama bagi produk daging dendeng, malah ia sudah terjual di seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

"Saya juga sasarkan untuk menembusi pasaran luar negara seperti Singapura, Brunei dan Dubai," katanya kepada ketika ditemui pada program Bahtera 2016 Edisi Utara di sini, petang Isnin.

Usahawan yang berasal dari Taiping, Perak ini berkata idea untuk memulakan perniagaan itu bermula dengan jualan di bazar ramadan dan untuk dimakan sendiri pada sekitar 1998, sebelum diselitkan dalam menu perniagaan katering secara kecil-kecilan yang diusahakannya.

"Ia makanan yang menjimatkan masa dan memudahkan orang untuk makan, bila pelanggan rasa dan mereka suka, saya beranikan diri untuk mengkomersialkannya dan dijual dalam botol pada harga RM15 bagi 140 gram.

"Bagi yang belum pernah menikmatinya, daging dendeng bukanlah rendang,  rasanya lebih istimewa, sedap dan berbeza daripada rendang," katanya.

Menyentuh mengenai persaingan, Huzana Salwa yang merupakan bekas guru di sebuah sekolah di Klang, Selangor, berkata dia tidak menafikan persaingan semakin banyak terhadap produk itu, namun rasanya tidak sama.

"Saya yakin jika kita jaga kualiti produk yang kita hasilkan, bukan sahaja ia mampu berdaya saing bahkan menarik ramai pelanggan baharu.

"Saya berhasrat mempelbagaikan produk jenama Dapor Dinda, namun buat masa sekarang perlu fokus kepada pengukuhan produk sedia ada dalam pasaran," katanya.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain