Nestle Sasar Tingkatkan Sumbangan Pendapatan E-Dagang

Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2016 3:07 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengeluar makanan dan minuman, Nestle (Malaysia) Bhd, mahu meningkatkan sumbangan pendapatan dari platform e-dagang kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun.

Pengarah Urusan Alois Hofbauer berkata pada masa sekarang, segmen e-dagang menyumbangkan kurang daripada satu peratus kepada jualan keseluruhan syarikat.

"Kami mula aktif dalam e-dagang sejak akhir tahun lepas, kami amat yakin dengan e-dagang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen e-dagang Nestle yang dipanggil 'Wellness Together-Gather', di sini, Khamis.

Pendapatan Nestle Malaysia naik kepada RM2.55 bilion pada separuh pertama 2016 berbanding dengan RM2.42 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hofbauer berkata pertumbuhan jualan Nestle Malaysia dalam tempoh tersebut mengatasi pertumbuhan keseluruhan industri makanan dan minuman sebanyak dua peratus.

Pertumbuhan positif itu berkait rapat dengan bahagian pasaran syarikat yang kukuh dalam negara ini termasuk prestasi jualan yang lebih baik sejak enam bulan lepas.

Di bawah kempen itu, Nestle Malaysia akan bekerjasama dengan peruncit dalam talian Malaysia seperti Lazada dan 11street, untuk menubuhkan kedai-kedai Nestle dalam talian.

Kedai-kedai ini akan menawarkan penyelesaian kesihatan dengan pemakanan yang penuh dengan khasiat serta produk-produk yang diberi diskaun.

Kempen selama empat minggu itu menawarkan lebih 260 variasi produk dari 10 jenama Nestle Malaysia dan 30 berkas promosi yang berbeza dengan diskaun sehingga 45 peratus di Lazada dan 11street.

Rakyat Malaysia boleh menikmati sehingga RM1 juta penjimatan melalui pembelian dalam talian sepanjang kempen ini.

"Membangun bersama pengguna kami dengan berkembang ke bidang digital adalah seiring dengan usaha kami untuk terus berinovasi dan maju untuk jangka panjang.

"E-dagang menawarkan peluang yang besar bagi kumpulan dan kami yakin yang kami akan dapat memanfaatkan kemudahan ini secara jangka masa panjang," kata  Hofbauer.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan