suria

Bajet 2017: Kenanga Jangka Tiada Pengumuman Projek Mega Baharu

KUALA LUMPUR: Kenanga Research menjangkakan kerajaan tidak mengumumkan perancangan infrastruktur mega bagi sektor pembinaan dalam pembentangan Bajet 2017.

Namun firma penyelidikan itu menjangkakan pengulangan projek yang sudah disahkan dalam bajet sebelum ini, termasuk MRT2  and  3, kereta api laju, LRT3 dan Lebuh Raya Pan Borneo.

"Bagaimanapun, kami berharap kerajaan mengumumkan tempoh masa pelaksanaan projek-projek berkenaan, terutama kereta api laju, MRT3, Bus Rapid Transit dan pembangunan Bandar Malaysia.

"Ini penting dari segi aliran penerusan projek untuk kontraktor pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam nota kajiannya, Rabu.

Pada suku ketiga tahun ini, Kenanga berkata aliran kerja meningkat dengan kira-kira RM12 bilion nilai kontrak diluluskan kepada kontraktor yang disenarai berbanding hanya RM5.9 bilion pada suku kedua, sebahagian besarnya untuk Pan Borneo Sarawak. 

"Untuk masa depan, kami menjangkakan momentum jumlah kerja akan menyusut dan kami hanya menjangkakan aliran baharu menerusi pakej jejambat projek MRT2 dan LRT3 yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Kami yakin sebaik kesemua kontrak ini dikeluarkan, ia akan menjadi tahun pelaksanaan. Tumpuan utama kontraktor dalam dua hingga tiga suku akan datang akan melibatkan pelaksanaan projek memandangkan sebarang kelewatan akan menjejaskan kedudukan pendapatan masing-masing," katanya.-- Bernama



Kenanga Research, Bajet 2017

Artikel Lain