suria

Malaysia, Brunei Tingkatkan Hubungan Ekonomi

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (kiri) di Bangunan Perdana Putra, Selasa sempena lawatan rasmi tiga hari dan Rundingan Pemimpin Tahunan ke-20 antara Malaysia dan Brunei.

PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei menekankan komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama ekonomi terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Dalam kenyataan bersama Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-20 antara Malaysia dan Brunei hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Hassanal Bolkiah berkata aliran perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara terus kukuh, dan mengakui masih terdapat potensi ekonomi yang belum diterokai. 

"Oleh itu, kedua-dua pemimpin mencadangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kedua-dua negara bekerjasama meneroka peluang perniagaan, dan gembira untuk menyatakan forum perniagaan yang menumpukan kepada PKS dari Brunei dan Malaysia akan diadakan di Brunei pada separuh pertama 2017," menurut kenyataan bersama itu.

Forum perniagaan itu akan menjadi platform yang baik kepada PKS meliputi pelbagai sektor kepada rangkaian, bertukar-tukar pengalaman dan membincangkan prospek perniagaan untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, katanya. 

Sementara itu, Najib dan Sultan Brunei menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan dan membangunkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang Teknologi Hijau.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Tenaga dan Industri Brunei Pehin Datu Mohammad Yasmin Umar menandatangani MoU itu.

Di bawah MoU tersebut, Malaysia dan Brunei akan mengambil langkah perlu untuk menggalakkan dan mempromosikan kerjasama teknikal dalam teknologi hijau melalui pelbagai bidang.

Terdahulu, Najib dan Sultan Hassanal mengadakan pertemuan di Bangunan Perdana Putra di sini bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-20 antara Malaysia dan Brunei.

Kedua-dua pemimpin juga berpuas hati dengan hasil pertemuan mereka dan berharap pelaksanaan daripada keputusan yang dicapai akan terus meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Brunei.

Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin turut menggesa para pegawai kedua-dua negara menggiatkan perbincangan mereka dengan pandangan untuk mewujudkan MoU atau rangka kerja lain yang bersesuaian membolehkan pengoperasian awal daripada peruntukan pertukaran dokumen berkaitan akses maritim.

"Dalam hal ini, kedua-dua pemimpin menggesa usaha diperkukuhkan bagi membolehkan perbincangan dimuktamadkan lebih awal," katanya. 

Pemimpin turut mengharapkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian antara Brunei dan Sarawak dalam pengeluaran beras, ternakan dan akuakultur.

"Mereka mengambil perhatian hasrat Brunei dan Sarawak untuk bekerjasama dalam bidang minyak sawit mentah pada masa akan datang," menurut kenyataan bersama itu. 

Kedua-dua pemimpin turut menggalakkan Petronas dan PetroleumBRUNEI meningkatkan kerjasama ke arah merealisasikan hab luar pesisir untuk menyokong pembangunan sumber hidrokarbon daripada Blok CA2 dalam memastikan pengeluaran gas yang mampan bagi Brunei.

"Pemimpin komited bagi Petronas dan PetroleumBRUNEI mengkomersialkan hasil penemuan baru-baru ini di Blok CA2 sebagai peluang komersial paling berdaya maju, dalam usaha memaksimumkan pulangan ke atas pelaburan kepada kedua-dua pihak," katanya.

Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menyambut baik hasrat Petronas dan  Sekretariat Unitasi Nasional Brunei untuk melantik pakar luar bebas bagi menyelesaikan ketidaktentuan berkaitan teknikal terhadap cadangan unitasi untuk medan minyak Kinabalu West NAG dan Maharajalela North.

"Jangkaan resolusi itu akan mengambil kira hasrat persetujuan yang adil, saksama dan telus untuk memuktamadkan persetujuan unitasi bagi medan minyak Kinabalu West dan Gumusut/Kakap serta Geronggong/Jagus East pada suku pertama  2017," menurut kenyataan bersama itu. 

Sultan Hassanal dan isteri baginda, Pengiran Anak Hajah Saleha, dalam lawatan tiga hari ke Malaysia mulai 3 Oktober. -- Bernama


Artikel Lain