suria

Mapex II: Jualan Lima Peratus Disasar Daripada 3,252 Unit Hartanah

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pahang Chua Say Chai (tengah) ketika sidang media Ekspo Hartanah dan Perumahan (MAPEX) II Pahang 2016, Selasa.

KUANTAN: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Pahang menyasar jualan sebanyak lima peratus daripada 3,252 unit hartanah bernilai RM1.25 bilion semasa Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (Mapex) II Pahang 2016.

Mapex II Pahang 2016 akan diadakan selama tiga hari bermula 14 Okt di Kuantan Parade di sini.

Pengerusi Rehda Pahang, Chua Say Chai berkata tempoh sekarang adalah masa sesuai untuk memiliki hartanah khususnya di Kuantan.

"Ini kerana hartanah di sini dijangka meningkat dengan pelbagai perancangan ekonomi khususnya di kawasan pelabuhan yang semakin berkembang," katanya di sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata, ia termasuk pembangunan di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng di sini.

"Mereka yang mahu membuat penilaian dan perbandingan harga rumah juga dialu-alukan untuk datang ke Mapex II mamandangkan pemaju yang terlibat mungkin memberikan harga yang terbaik atau promosi lain," katanya.

Say Chai berkata, sebanyak 28 pemaju perumahan dan komersial dari Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Melaka akan menyertai ekspo itu.

"Harga rumah yang ditawarkan bermula RM150,000 hingga RM1.1 juta. Mapex II juga disertai Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menawarkan rumah mampu milik," katanya.

Beliau berkata 2,699 unit hartanah yang ditawarkan adalah kediaman pelbagai jenis antaranya teres setingkat, rumah berkembar, pangsapuri, banglo dan komersial yang dilaksanakan di Pahang.

"Projek di Pahang terletak di Kuantan, Pekan, Rompin, Jengka, Muadzam Shah, Temerloh, Jerantut, dan Maran," katanya.

Say Chai berkata, unit hartanah lain ialah tujuh kedai di Terengganu, 16 rumah berkembar dan banglo di Kuala Lumpur serta 530 unit kondominium, hotel dan resort di Melaka.-- Bernama



Mapex II, Pahang, Rehda

Artikel Sebelum

Artikel Lain