suria

Petronas Meterai Kontrak Gudang Dengan Sinopec

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd, Ir Dr Colin Wong Hee Huing (tiga, kanan) dan Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Antarabangsa Sinopec Engineering (Group) Co Ltd, Chen Xiaodong (dua, kanan) menandatangani perjanjian sambil diperhatikan Pengarah Projek Petrochemical Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd, Datuk Nur Iskandar A Samad (kanan).

KUALA LUMPUR: Petronas baru-baru ini memeterai perjanjian bagi Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pengoperasian (EPCC) gudang Simpanan Berautomasi dan Sistem Dapatan Semula (ASRS) bagi loji petrokimianya di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Kontrak EPCC dimeterai oleh Petronas dan sebuah konsortium yang terdiri daripada Sinopec Engineering (Group) Co Ltd, Sinopec Shanghai Engineering Co Ltd dan Sinopec Engineering Group Malaysia Sdn Bhd.

"Kami melangkah setapak lagi ke arah merealisasikan pembangunan PIC, yang dijadualkan memulakan operasi pada suku pertama 2019," kata Naib Presiden kanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) Colin Wong Hee Huing dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kemudahan itu akan menjadi gudang berautomasi pertama Petronas yang berupaya menampung inventori simpanan 21 hari bagi produk polimer dalam PIC, iaitu polipropilena, polietilena densiti rendah dan polietilena fleksibel.

Kontrak tersebut juga termasuk kemudahan pengendalian lain bagi gudang  ASRS.

Konsortium Sinopec itu menerima Surat Lantikan daripada PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd, anak syarikat PRPC pada 1 Ogos, 2016. 

Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 27 bulan akan datang. 

Wong juga menggesa kontraktor agar berwaspada dan memastikan standard Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar tidak dikompronikan dalam apa juga keadaan. -- Bernama

Petronas, Sinopec

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain