suria

Genting Akan Labur RM740 Juta Bagi Limbungan Kapal Di Jerman

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) melawat Limbungan MV Werften sambil diiringi, pentadbir Mecklenburg-Vorpommern, Erwin Sellering (kanan) dan Tan Sri Lim Kok Thay (kiri) di Wismar, utara Jerman.

WISMAR: Genting Group akan melabur sebanyak  160 juta (RM740 juta) bagi tiga limbungan kapalnya di Mecklenburg-Vorpommern dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pelaburan itu, antara lainnya, adalah bagi penggunaan robotik terkini (dalam pembinaan kapal)," kata Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay.

Pelaburan itu yang juga bertujuan untuk membina pejabat baharu bagi sehingga 685 ruang kerja, pembuatan kabin dan pusat logistik bahan, dijangka menjadikan MV Werften sebagai antara pembina kapal persiaran paling cekap di dunia.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke limbungan kapal itu.

Genting Group menerusi Genting Hong Kong Ltd membeli tiga limbungan kapal di Wismar, WarnemUnde dan Stralsund dengan harga RM1.04 bilion tahun lepas untuk memantapkan kedudukannya dalam sektor tersebut.

Ketiga-tiga limbungan kapal itu diuruskan oleh Genting dari Wismar. 

Genting telah menamakan semula limbungan kapal tersebut sebagai MV Werften dan akan menumpukan kepada membina kapal persiaran baharu yang besar.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan Duta Malaysia ke Jerman Datuk Zulkifli Adnan. -- Bernama



Genting Group, Jerman, Lim Kok Thay

Artikel Lain