suria

Saham Sunway Construction Meningkat Selepas Firma Itu Peroleh Tiga Kontrak Baharu

KUALA LUMPUR: Saham Sunway Construction Group meningkat satu sen kepada RM1.62 pada tengah hari dengan 491,600 saham bertukar tangan selepas syarikat itu mengumumkan mengenai pemerolehan tiga kontrak baharu bernilai RM209 juta.

Dalam pengumumannya semalam, syarikat itu berkata kontrak baharu itu diperoleh daripada MMC Gamuda untuk projek MRT2, pembinaan 88 unit lot kedai di Medini Iskandar, dan dua sub-Stesen TNB.

"Kami neutral ke atas pemerolehan ini, yang memenuhi unjuran pendapatan kami bagi sasaran pengisian projek baharu dalam tahun kewangan 2016 sebanyak RM2.9 bilion," kata Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berkata setakat ini, Sunway Construction memperoleh kontrak bernilai RM2.6 juta, yang mewakili 90 peratus sasarannya, dengan baki  RM300 juta diunjur dapat dicapai, katanya.

Kumpulan itu mempunyai nilai projek berbaki sebanyak RM5 bilion yang mampu menyediakan pendapatan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

"Kami yakin sasaran pengisian pendapatan bagi tahun kewangan 2016 sebanyak  RM2.9 bilion dapat dicapai, disokong oleh kemenangan projek yang dijangkakan menerusi LRT3, pada akhir tahun atau awal 2017," katanya.

Kenanga Research mengekalkan saranan 'berprestasi tinggi' ke atas Sunway Construction dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.81.

Artikel Lain