suria

Bajet 2017: Khazanah Jangka Kesinambungan Fokus Pro-Pertumbuhan, Pro-Masyarakat

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menjangkakan Bajet 2017 akan meneruskan kesinambungan fokus ke atas propertumbuhan dan promasyarakat.

Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar berkata bajet itu juga bakal terarah kepada tanggungjawab fiskal berikutan persekitaran ekonomi dunia yang mencabar.

Beliau berkata negara perlu meneruskan enjin pertumbuhan bagi menyokong pembangunannya.

"Kedudukan global agak mencabar, namun saya menjangkakan Malaysia mempunyai banyak kekuatan, termasuk geografi.

"Saya percaya kita boleh memanfaatkannya dan melihat ke hadapan untuk memainkan peranan," katanya di luar Forum Khazanah Megatrends 2016 di sini, Isnin.

Sementara itu, Pengerusi CIMB Group Holdings Datuk Seri Nazir Razak berkata kerajaan mesti menunjukkan dasar fiskal berhemat dalam pengumuman bajet akan datang bagi menunjukkan walaupun kedudukan luar yang sukar, negara mampu mencatat defisit fiskal yang lebih rendah.

Kerajaan menyasarkan untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.1 peratus pada 2016 dan merendahkan lagi angka itu pada tahun depan.

"Bajet 2017 mesti mengesahkan bahawa defisit fiskal yang lebih rendah mampu dicapai menerusi pengurusan perbelanjaan berhemat. 

"Yang pasti kerajaan akan mengumumkan pelbagai insentif, yang sangat baik.

Namun kerajaan mesti mengetahui apa yang perlu dipotong dan apa yang perlu dibelanjakan," katanya.

Sambil memberi contoh, Nazir berkata bidang yang wajar mendapat peruntukan yang lebih ialah pembiayaan untuk pendidikan dan infrastruktur.

Sementara itu, beliau yang ditanya sama ada CIMB Bank menjangkakan satu lagi pengurangan kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia tahun ini, berkata beliau tidak menolak kemungkinan itu.

"Penurunan itu tidak boleh dilakukan bersendirian, Ia bukan hanya melibatkan dinamik negara, malah dinamik antarabangsa.

"Ia boleh memberi impak ke atas mata wang, dan oleh itu anda perlu mengkajinya atas perspektif nilai yang berkaitan, katanya.

Bertema 'Geography as Destiny', forum dua hari itu menarik lebih 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa.-- Bernama

Khazanah, Bajet 2017, Azman Mokhtar

Artikel Lain