suria

Eksport Pertanian Meningkat Kepada RM87.8 Bilion

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong (tiga, kiri) mempamerkan buah-buahan tempatan ketika mengunjungi gerai selepas merasmikan Pameran Teknologi Agrikultur Antarabangsa di Pusat Pameran Antarabangsa Melaka pada 22 September 2016. - BERNAMA

MELAKA: Eksport sektor pertanian negara meningkat 2.6 peratus kepada RM87.8 bilion pada enam bulan pertama 2016 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata peningkatan itu merupakan pencapaian yang baik walaupun ekonomi dunia semasa mengalami kelembapan.

"Banyak cabaran ekonomi dialami tahun ini dengan beberapa negara utama seperti China berdepan kesuraman ekonominya namun, eksport sektor pertanian negara kita mencatat kenaikan, ia adalah sesuatu yang baik.

"Harga eksport pertanian yang tinggi, seperti kelapa, adalah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Teknologi Pertanian Antarabangsa Malaysia 2016 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini, Khamis.

Beliau berkata eksport sektor pertanian negara pada 2015 bernilai RM184.4 bilion manakala eksport produk komoditi menyumbang 64.5 peratus bagi sektor itu.

"Eksport produk komoditi meningkat kepada RM117.1 bilion tahun lepas berbanding RM116.5 bilion pada 2014. Eksport produk komoditi utama ialah minyak sawit, getah, produk kayu, lada dan koko," katanya.

Mah berkata sektor pertanian adalah tonggak penting kepada ekonomi negara dengan sumbangan 8.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2015.

Mengenai jangkaan permintaan minyak sawit global semakin meningkat, beliau berkata, Malaysia perlu memenuhi kenaikan secara kaedah lestari melalui penggunaan teknologi untuk menambah pengeluaran minyak sawit.

"Jika kita berupaya meningkatkan kadar pengekstrakan minyak purata daripada 20 peratus ketika ini kepada 24 peratus, sekali gus pengeluaran akan bertambah sebanyak 20 peratus tanpa pembukaan tanah baharu untuk perladangan kelapa sawit.

"Selain itu, kita perlu mengenal pasti kaedah untuk mencatat kenaikan empat peratus tersebut, di sinilah penyelidikan dan hasil pencapaian minyak sawit diperlukan bagi memastikan industri mampu memenuhi pertambahan permintaan dunia," katanya. - BERNAMA

Pertanian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain