suria

Peruntukan KWSP AS$25 Bilion Tingkat Pasaran Sukuk

KUALA LUMPUR: Peruntukan AS$25 bilion (RM100 bilion) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk dana baharu Islam, khusus untuk pelaburan patuh Syariah, dijangka meningkatkan lagi pasaran sukuk, kata Moody's Investors Service.

Ketua Kewangan Islam Globalnya Khalid Howladar berkata peruntukan itu yang mewakili 15 peratus daripada pelaburan KWSP, akan mewujudkan dana pencen Islam terbesar dunia, yang jarang berlaku dalam industri.

"KWSP sudah bersedia untuk membuat pelaburan besar asetnya dalam pelaburan berlandaskan Syariah, dengan sokongan jelas baru-baru ini amat ketara.

"Apabila anda mempunyai dana pencen kerajaan memperuntukkan AS$25 bilion, ia merupakan angka yang besar dan pada terbitan sukuk global sedia ada, KWSP boleh menghabiskannya dalam setahun," katanya pada taklimat rundingan meja bulat media mengenai "Majlis Kerjasama Teluk  and  Kewangan Islam: Tekanan Turun Naik Minyak dan Trend Kredit Islam" di sini pada Selasa.

Agensi penarafan antarabangsa itu berkata skim pencen baharu KWSP, mulai tahun depan, akan meningkatkan pemintaan untuk sukuk dan sekuriti patuh Syariah.

"Apabila pelabur luar melihat dana pencen kerajaan turut serta, ia akan menggalakkan mereka untuk menerbitkan sukuk, setelah mengetahui ada pihak yang menyediakan peruntukan yang jelas.

"Semua ini akan membantu meningkatkan permintaan yang selalunya positif kepada sektor sukuk," katanya.

Moody's juga berkata dana pencen kedua terbesar Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan, dengan jumlah saiz AS$30 bilion (RM125 bilion), juga mengumumkan rancangannya untuk menjadi dana pencen Islam penuh.

Agensi penarafan itu menjangkakan harga minyak mentah akan kekal dalam kedudukan yang tidak banyak berubah, dengan julat jangka sederhana hingga 2018 antara AS$40 (RM160) dan AS$60 (RM240) setong. - BERNAMA

KSWP

Artikel Berikut

Artikel Lain