suria

Petron Sasar Sejuta Pemegang Kad

PETALING JAYA: Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd menyasarkan untuk mendaftar satu juta pemegang kad Petron Miles setahun, didorong oleh permintaan kukuh terutamanya semasa tempoh promosi.

Ketua Perniagaan Runcit, Faridah Ali, berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, pembekal pasaran minyak hiliran itu telah mendaftarkan hampir dua juta ahli.

"Biasanya, apabila kami menjalankan promosi, jumlah orang yang mahu menjadi pemegang kad Petron Miles akan meningkat," katanya kepada pemberita selepas cabaran 'Supermarket Sweep 2016' syarikat itu di sini pada Jumaat.

Acara itu, yang kini memasuki tahun kedua, telah meningkatkan nilai hadiah kepada RM140,000 nilai barangan runcit berbanding RM50,000 sebelum ini.

Ia juga kini melibatkan penyertaan lebih ramai keluarga dan tambahan lokasi, iaitu Johor Bahru, Prai dan Kota Kinabalu, selain Kuala Lumpur.

Beliau berkata semasa tempoh promosi cabaran "Supermarket Sweep 2016" dari 15 Jun hingga 14 Ogos, 2016, Petron berjaya mendaftarkan hampir kepada satu juta ahli.

Ahli akan mendapat penyertaan secara automatik bagi setiap RM50 yang dibelanjakan untuk bahan api di stesen minyak Petron yang mengambil bahagian, katanya.

"Kami gembira dengan sambutan yang menggalakkan kepada acara ini dan mahu lebih ramai keluarga memenanginya," katanya, sambil menambah Petron merancang untuk menjadikannya acara tahunan, berdasarkan maklum balas dan permintaan pelanggan.

Faridah berkata Petron telah membuka 10 stesen minyak baharu, dengan 10 lagi masih dalam pembinaan.

Sementara itu, pada acara hari sama, Petron memberikan lima hadiah utama dan lima hadiah saguhati kepada keluarga yang mengambil bahagian.

Pemenang hadiah utama akan membawa pulang barangan runcit bernilai RM5,000 dan pemenang hadiah saguhati sebanyak RM3,000 di pasar raya Tesco. - BERNAMA

Petron

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain