MyAngkasa Sasar Kerjasama Dengan iSynergy Jana Jualan RM10 Juta

Diterbitkan: Khamis, 8 September 2016 6:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MyAngkasa Services Sdn Bhd (MyAngkasa) menyasarkan kerjasamanya dengan I Synergy International (M) Sdn Bhd (iSynergy) mampu menjana nilai jualan sebanyak RM10 juta menjelang akhir 2016.

Ini adalah susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Anak syarikat milik penuh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) itu dan iSynergy, bertujuan meningkatkan potensi pendapatan koperasi serta menggalakkan keusahawanan koperasi bagi anggotanya.

iSynergy merupakan anak syarikat pembekal penyelesaian dan pemasaran gabungan terbesar Malaysia, I Synergy Holdings Berhad.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata sasaran itu melibatkan lebih 2,000 koperasi naungan Angkasa yang berdaftar sebagai anggota gabungan Affiliate Junction (AJ), yang diuruskan iSynergy.

"Matlamat utama adalah untuk membantu koperasi menjana pendapatan lumayan dan mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas.

"Melalui kerjasama (dengan iSynergy) ini, Angkasa yakin terhadap persediaan koperasi untuk meningkatkan pendapatan dan menggalakkan anggota koperasi menceburi bidang perniagaan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di sini, Khamis.

Beliau berkata Angkasa mempunyai kira-kira 9,000 koperasi dengan 8.4 juta anggota.

"Koperasi di bawah Angkasa boleh menyertai AJ sebagai anggota gabungan manakala yuran lesen gabungan AJ sebanyak RM1,000 sekali gus dimansuhkan bagi kerjasama ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif iSynergy, Datuk Lawrence Teo berkata iSynergy berperanan menyokong visi MyAngkasa untuk menjadi pemacu perniagaan bagi sektor koperasi di negara ini.

"Melalui platform 'affiliate', pembangunan keusahawanan dalam kalangan anggota koperasi Angkasa dilihat sebagai satu sumber penjanaan pendapatan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu dalam kenyataan iSynergy, AJ adalah platform pemasaran di Malaysia yang menawarkan penyelesaian pemasaran gabungan luar dan dalam talian untuk perniagaan melalui rangkaian tunggal.

Anggota gabungan AJ akan diberi insentif apabila berjaya menyalurkan pelanggan kepada peniaga dan pengiklan AJ.

MyKad Smart Shopper (MSS), program kesetiaan AJ, yang menggunakan MyKad sebagai kad keanggotaan, membolehkan pengguna MyKad yang didaftarkan oleh anggota gabungan AJ menikmati keistimewaan di koperasi atau cawangan kedai serta kedai e-dagang SmartSaver.

Smartsaver, merupakan platform dalam talian MSS, membolehkan anggota gabungan yang menyalurkan pengguna MyKad itu, diberi insentif melalui ekosistem program bagi setiap transaksi runcit.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: MyAngkasa , iSynergy

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan