suria

TDM Rekod RM103.1 Juta Pendapatan Pada Suku Kedua 2016

KUALA TERENGGANU: TDM Bhd, syarikat milik kerajaan Terengganu, mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak 145 peratus kepada RM22.8 juta berbanding RM9.3 juta, dalam tempoh suku kedua berakhir 30 Jun, 2016.

Pengarah Eksekutifnya Wan Zalizan Wan Jusoh berkata hasil untuk suku itu meningkat kepada RM103.1 juta berbanding RM94.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Peningkatan hasil kumpulan itu dijana melalui lonjakan keuntungan sektor perladangan dan perkhidmatan kesihatan.

"Pada suku ini, prestasi syarikat menunjukkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM17.5 juta, dengan pendapatan sebanyak RM200.6 juta, atau masing-masing meningkat 2,098 peratus dan 18 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"TDM mencapai prestasi yang baik pada suku kedua 2016. Walaupun harga komoditi minyak sawit turun naik dan perubahan iklim menjejaskan pengeluaran sektor perladangan secara keseluruhan, namun bahagian perladangan Kumpulan kekal positif, hasil tumpuan kami ke atas program peningkatan produktiviti, seperti penanaman semula dan menaik taraf kilang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TDM juga yakin ke atas permintaan yang semakin meningkat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Malaysia dengan TDM berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan melalui pengembangan kapasiti hospital dan menerusi pengenalan perkhidmatan kesihatan baharu.

Katanya sektor perladangan pula mencatatkan RM58.7 juta hasil daripada RM51.8 juta pada suku yang sama pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus manakala keuntungan sebelum cukai berjumlah RM20.9 juta daripada RM4.2 juta, peningkatan ketara sebanyak 392 peratus.

"Keseluruhannya setakat Jun ini, sektor perladangan mencatatkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit (PK) yang lebih rendah disebabkan perubahan iklim, namun diimbangi oleh harga purata MSM dan isirong sawit yang lebih tinggi masig-masing sebanyak 20 peratus (atau RM2654 setiap tan metrik) dan 37 peratus (atau RM2200 setiap tan metrik).

"Pada suku tersebut, sejumlah 7,703 tan metrik minyak sawit mentah jenis segregated dan 150 tan metrik jenis mass balance yang diiktiraf sebagai Minyak Sawit Mampan (CSPO) dijual pada harga premium sebanyak RM114 dan RM78 setiap tan metrik.

"Bahagian Penjagaan Kesihatan terus menunjukkan peningkatan dalam suku kedua 2016 dengan RM44.4 juta pendapatan berbanding RM42.4 juta atau peningkatan lima peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Keuntungan operasi sektor ini disumbangkan oleh peningkatan dalam jumlah bilangan kes pembedahan di empat hospital di bawah kumpulan TDM.

Bagaimanapun, sektor penjagaan kesihatan mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah, sebanyak RM1.9 juta berbanding RM5.1 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, sebahagian besarnya disebabkan kos pentadbiran dan perbelanjaan praoperasi yang lebih tinggi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain