Jurang Pembiayaan Perdagangan Global Cecah US$1.6 Trilion

Diterbitkan: Rabu, 7 September 2016 1:57 PM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Ketidakmampuan institusi kewangan untuk menyediakan US$1.6 trilion (US$1=RM4.05) bagi menyokong pembeli dan penjual barangan merentas pelbagai negara, menyebabkan berlaku halangan dalam pertumbuhan serta mengehadkan peluang pekerjaan pada 2015.

Perkara ini dinyatakan dalam ringkasan Tinjauan Bank Pembangunan Asia (ADB) di sini, Rabu.

Jurang pembiayaan perdagangan global bagi pembangunan Asia berjumlah US$692 bilion, termasuk India dan China.

Dalam kajian baharu ini, Jurang Pembiayaan Perdagangan, Pertumbuhan dan Tinjauan Pekerjaan ADB 2016, meninjau jurang kuantiti pasaran bagi pembiayaan perdagangan dan kesannya ke atas pertumbuhan dan pekerjaan melibatkan lebih 337 bank di 114 negara dan 791 syarikat di 96 negara.

Kaji selidik tahunan imi kini memasuki edisi tahun keempat.

"Pertumbuhan jurang pembiayaan perdagangan pada 2015 terus mengheret perdagangan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan kelompok yang paling teruk terjejas," kata Ketua Program Pembiayaan Perdagangan ADB, Steven Beck.

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa pembuat dasar dan pengawal atur di peringkat global dan nasional, perlu meningkatkan sokongan untuk pembiayaan perdagangan melalui peraturan perbankan yang lebih bijak, sistem penarafan kredit yang lebih telus dan menyeluruh serta pembangunan kapasiti bagi bank-bank tempatan," kata Ketua Pembiayaan Perdagangan ADB Program, katanya.

Beliau berkata Program Pembiayaan Perdagangan ADB sudah bersedia untuk membantu negara anggota dan bank pelanggannya di semua kawasan.

Laporan ADB itu menekankan bahawa jurang pembiayaan perdagangan terus berlaku disebabkan oleh kos dan kerumitan dalam pematuhan peraturan perbankan, dengan 90 peratus bank yang ditinjau memetik anti-Pengubahan wang haram dan mengenali keperluan pelanggan, sebagai halangan kepada keupayaan mereka untuk mengembangkan pembiayaan perdagangan, terutama untuk perniagaan kecil.

Peraturan perbankan Basel III, yang menetapkan keperluan kecairan bagi bank, juga disebut oleh 77 peratus responden yang dianggap sebagai penghalang utama kepada pembiayaan untuk perdagangan baharu.

Laporan itu menyatakan bahawa PKS menghadapi halangan terbesar dalam mengakses pembiayaan perdagangan berpatutan.

Di peringkat global, 57 peratus daripada permintaan pembiayaan perdagangan oleh PKS ditolak, berbanding hanya 10 peratus untuk syarikat multinasional.

Kadar penolakan yang tinggi ini menyebabkan banyak syarikat beralih kepada pembiayaan tidak rasmi dan tidak cekap.

Laporan itu juga berkata teknologi kewangan, atau Fintech, boleh membantu merapatkan jurang pembiayaan untuk perniagaan yang ketinggalan dalam memperoleh pembiayaan perdagangan.

Namun, kesedaran ke atas kewangan digital dalam kalangan perniagaan kecil masih rendah, dengan 70 peratus daripada syarikat yang ditinjau, menyatakan mereka tidak biasa dengan kemudahan itu.

Dalam kalangan syarikat yang sudah biasa dengan kewangan digital, pinjaman sesama rakan niaga mencatatkan kadar yang tinggi di negara membangun.

Sejak 2009, Program Pembiayaan Perdagangan ADB berjaya membantu lebih 8,200 PKS di rantau ini, dengan kira-kira 11,800 transaksi bernilai lebih US$23.6 bilion, dalam sektor seperti komoditi dan barangan modal, bekalan perubatan sehinggalah kepada barangan pengguna.

ADB yang berpangkalan di Manila, ditubuhkan khusus untuk mengurangkan kemiskinan di Asia dan Pasifik menerusi pertumbuhan ekonomi yang inklusif, pertumbuhan mampan dan penyepaduan serantau.

Ditubuhkan pada 1966, Disember 2016 ini menandakan usaha sama pembangunan ke-50 di Asia.

Dimiliki 67 ahli - 48 dari rantau ini - bantuan ADB berjumlah US$27.2 bilion, termasuk pembiayaan bersama sebanyak US$10.7 bilion, tahun lepas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan