suria

Irda Sasar Pelaburan Baharu RM25 Bilion Untuk Iskandar

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (Irda) menyasarkan untuk mengumpul RM25 bilion pelaburan baharu untuk Iskandar Malaysia tahun ini.

Pengarah Pengurusan Korporat dan Kewangannya Nor Hisham Mohd Yusof berkata Irda yakin dapat merealisasikan sasaran itu memandangkan pihak berkuasa pembangunan wilayah itu memperoleh RM17.7 bilion pelaburan baharu pada separuh pertama 2016.

"Kira-kira 60 peratus pelaburan disumbangkan oleh sektor hartanah,  sebahagian besarnya oleh pelabur dari China, diikuti sektor pembuatan dan perkhidmatan," katanya pada sidang media mengenai Iskarnival 2016, di sini, Isnin.

Nor Hisham berkata IRDA menurunkan sasarannya kepada RM25 bilion tahun ini daripada RM30 bilion pelaburan yang diperoleh tahun lepas disebabkan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan.

Beliau berkata sejak 2006 hingga 30 Jun, 2016, pelaburan komited secara kumulatif berjumlah RM207.99 bilion.

"Kami berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai saranan pelaburan  RM383 bilion menjelang 2025," katanya.

Iskarnival 2016, yang memasuki edisi kelimanya, berlangsung sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Iskandar Malaysia di Johor.

Ia bermatkamat memperkukuh hubungan masyarakat dan keterangkuman sosioekonomi yang penting untuk kemampanan masa depan Iskandar Malaysia.

Anjuran bersama Khazanah Nasional Bhd, UEM Sunrise Bhd dan Iskandar Investment Bhd, acara itu berlangsung di Iskandar Puteri (sebelum ini dikenali sebagai Nusajaya) pada satu hujung minggu masing-masing pada September, Oktober dan November 2016.

Setiap minggu, acara akan menampilkan tema festival iaitu Iskarnival Kreatif (17-18 Sept); Iskarnival Naratif (15-16 Okt) dan Iskarnival Sama-sama pada  November.

Lebih 100,000 pengunjung dijangka menghadiri acara berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain