suria

FTSB Sasar Jualan Produk Pertanian Cecah RM2 Juta

KUALA LUMPUR: Felda Trading Sdn Bhd (FTSB) yang juga pengedar tunggal produk pertanian Kingoya Enterprise Sdn Bhd di pasaran Malaysia, menyasarkan jualan tahun pertama produk itu mencecah RM2 juta.

FTSB merupakan anak syarikat kumpulan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).

Ketua Pegawai Eksekutif FTSB, Eimir Huzaimi Md Noh berkata selain pengedar tunggal, syarikat yang turut dilantik sebagai pembekal peralatan dan aksesori pertanian untuk Kingoya Enterprise juga berhasrat menerajui pasaran bagi segmen bekalan alatan penuaian di negara ini.

"Menerusi sasaran jumlah jualan RM2 juta itu, saya yakin FTSB selaku pengedar tunggal mampu mencatat keuntungan yang baik," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangai perjanjian pengedaran eksklusif berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Pengerusi Eksekutif Kingoya Enterprise Datuk Nazifuddin Mohd Najib. 

FTSB setakat ini memiliki 17 cawangan agro industri di seluruh negara, termasuk 12 yang menumpukan pengedaran produk-produk pertanian.

Eimir berkata jualan agro industri FTSB bagi 2015 mencecah RM61 juta dan  dijangkan meningkat kepada RM72 juta, tahun ini. 

Sementara itu, Mohd Isa menggesa pihak terbabit dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R and D) supaya menghasilkan produk untuk menangani masalah kekurangan pekerja ladang.

"FGV (Felda Global Ventures) sahaja mempunyai hampir 30,000 pekerja dan hampir 90 peratus merupakan warga Indonesia dan Bangladesh. Kita perlu berusaha menghasilkan ciptaan baharu bagi mengurangkan tenaga manusia. 

"Saya percaya syarikat seperti Kingoya Enterprise akan mempertingkatkan R and D dalam usaha menangani masalah itu," katanya. - BERNAMA

Felda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain