suria

IATA Lantik Alexandre De Juniac Sebagai Ketua Pengarah Dan CEO

Alexandre de Juniac

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melantik Alexandre de Juniac sebagai Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, menggantikan Tony Tyler yang bersara.

Dalam satu kenyataan, de Juniac berkata beliau teruja untuk menjalankan tanggungjawab di IATA memandangkan persatuan itu memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan pengangkutan udara yang selamat, efisien dan mampan.

"Tony Tyler telah membawa pencapaian ke tahap yang tinggi sejak lima tahun lepas. Melalui bimbingan lembaga pengarah dan sokongan anggota kami, sasaran saya ialah untuk memastikan IATA terus menyampaikan nilai kepada anggota dan rakan kongsi," katanya.

De Juniac disahkan oleh mesyuarat agung tahunan IATA ke-72 pada Jun untuk menjadi orang ketujuh menerajui organisasi berkenaan.

Beliau turut menekankan keperluan bagi pihak yang berkepentingan dalam  industri, terutamanya kerajaan, untuk mengiktiraf nilai yang diwujudkan oleh penerbangan.

"Angka menjelaskannya. Pengangkutan udara memberi 63 juta pekerjaan dan kira-kira US$2.7 trilion dalam aktiviti ekonomi.

"Bagaimanapun ini hanya sebahagian daripada nilai yang diwujudkan industri penerbangan. Industri kita melibatkan kebebasan. Kita membantu orang untuk meneroka, untuk melakukan perniagaan di peringkat global, merapatkan budaya dengan persahabatan dan pemahaman, dan menikmati kehidupan yang lebih baik melalui kemakmuran yang sambungan yang diwujudkan," katanya.

IATA

Artikel Lain