suria

Untung Sebelum Cukai Suku Kedua Maybank Susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Maybank susut sebanyak 26.5 peratus kepada RM1.58 bilion bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, 2016, berbanding RM2.15 bilion pada suku yang sama tahun lepas disebabkan oleh peruntukan lebih tinggi bagi kerugian susut nilai dan peningkatan dalam perbelanjaan overhed.

Perolehan bagaimanapun meningkat kepada RM10.94 bilion daripada RM8.94 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh enam bulan terkumpul, keuntungan sebelum cukai Maybank turun kepada RM3.51 bilion daripada RM4.39 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas, manakala perolehan melonjak kepada RM22.12 bilion daripada RM18.12 bilion.

Maybank merupakan bank keempat terbesar di Asia Tenggara mengikut aset.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bank itu menyatakan perbelanjaan overhed kumpulan bagi suku kedua naik sebanyak RM205.1 juta atau 8.5 peratus, berbanding suku yang sama sebelumnya yang berakhir pada 30 Jun, 2015.

"Peningkatan berkenaan terutamanya disumbangkan oleh kenaikan dalam kos penubuhan sebanyak RM105.9 juta, pentadbiran dan perbelanjaan am sebanyak RM102.4 juta dan perbelanjaan kakitangan berjumlah RM45.0 juta," katanya.

Peruntukan kumpulan dalam kerugian susut nilai terhadap pinjaman, pembiayaan dan hutang lain juga meningkat sebanyak RM680.7 juta kepada RM981.7 juta bagi suku tahun yang berakhir pada 30 Jun, 2016, berbanding suku yang sama tahun lapas.

Kenaikan berkenaan terutamanya disebabkan oleh peruntukan individu mewah lebih tinggi sebanyak RM268.4 juta dan peruntukan kolektif berjumlah RM387.2 juta.

Peruntukan kumpulan bagi kerugian susut nilai dalam pelaburan kewangan bagi suku dikaji juga meningkat sebanyak RM105.6 juta berbanding suku yang sama  2015.

Maybank

Artikel Lain