suria

RHB Buka Cawangan Kedua Di Laos

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group menyasar untuk memperluaskan hubungan dengan pelanggan sedia ada dan yang baru di Laos, dengan pembukaan cawangan kedua bank tersebut di sana.

Pengerusi Tan Sri Azlan Zainol berkata kumpulan perkhidmatan kewangan bersepadu sepenuhnya keempat terbesar di Malaysia, mempunyai pasukan yang kukuh untuk menyokong dan menjalankan operasi di Laos, serta memenuhi keperluan pelanggan.

"Kami sangat berbesar hati untuk mengembangkan kumpulan kami di Laos. Ia merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk memberi pengalaman pelanggan yang terbaik serta memberi kemudahan kepada pelangan kami sejajar dengan strategi kumpulan," kata beliau dalam kenyataan, Khamis. 

Cawangan Sithan Neua itu akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan perniagaan dan individu, memberi spektrum penuh penyelesaian kewangan, termasuk produk deposit, pengiriman wang, ATM, pelbagai kemudahan pinjaman serta pertukaran mata wang asing. 

Selain itu, RHB juga akan memberi pinjaman dan pembiayaan perdaganan kepada syarikat yang mengeluarkan barangan bagi penggunaan domestik dan eksport serta pengimport.

Ini membolehkan syarikat mengembangkan perniagaan mereka dan RHB sedang berusaha membantu mewujudkan pekerjaan dan pendapatan untuk komuniti.

Sempena pembukaan cawangan baru kumpulan di Laos, RHB menawarkan kempen deposit enam bulan. 

Pelanggan dan perniagaan yang membuka Akaun Simpanan atau Akaun Semasa atau Simpanan Tetap untuk minimum tiga bulan dengan bank tersebut, berpeluang menerima hadiah yang menarik. -- Bernama

RHB, Laos, Azlan Zainol

Artikel Lain