suria

Bayer Malaysia Sasar Kukuh Kedudukan Segmen Makanan Tambahan Kesihatan Kanak-Kanak

PETALING JAYA: Syarikat farmaseutikal dan kimia beribu pejabat di Jerman, Bayer Co (M) Sdn Bhd, menyasar untuk mengukuhkan kedudukannya dalam segmen makanan tambahan kesihatan kanak-kanak.

Sasaran itu seiring dengan pelancaran produk makanan tambahan kesihatan baharu hari ini, 'Redoxon Triple Action Kids Gummies'.

Ketua Negara Bahagian Kesihatan Pengguna Leong Sook Fun berkata pelancaran produk baharu itu akan membolehkan syarikat meningkatkan penguasaan pasaran bagi segmen berkenaan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

"Penguasaan pasaran kami bagi segmen kanak-kanak adalah rendah berbanding produk vitamin tambahan Redoxon untuk dewasa. Kami banyak melabur untuk produk baharu ini.

"Berasaskan kesedaran dan pendidikan pengguna yang lebih baik pada hari ini,  ditambah dengan sikap mengambil berat para ibu, kami yakin syarikat dapat mencapai pertumbuhan melalui peluang yang disediakan produk ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 'Redoxon Triple Action Kids Gummies' di sini, Rabu.

Tahun lepas, syarikat induk, Bayer AG membelanjakan 501 juta (1=RM4.45) untuk pembangunan produk bahagian kesihatan pengguna, iaitu kira-kira 14 peratus daripada peruntukan penyelidikan dan pembangunan globalnya.

Sook Fun berkata, pasaran vitamin tambahan di Malaysia berkembang dengan baik ketika ini walaupun agak rendah berbanding negara Barat.

Mengenai prestasi Redoxon, Leong berkata jenama vitamin itu telah mengatasi pertumbuhan pasaran pada separuh pertama 2016.

"Kami dijangka dapat meningkatkan penguasaan pasaran menjelang akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu 'Redoxon Triple Action Kids Gummies' merupakan produk pertama di dunia yang menawarkan vitamin D dan Zink, tambahan kepada vitamin C dalam bentuk kenyal.

"Ia pertama kali dilancarkan di Brazil pada Mei dan Malaysia menjadi negara kedua bagi pelancaran global," katanya.

Bayer beroperasi di 77 negara, merangkumi Eropah, Amerika Utara, Amerika Latin, Afrika dan Asia Barat.-- Bernama

Bayer Malaysia, Leong Sook Fun

Artikel Lain