suria

Industri Binaan Terus Pacu Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR: Industri pembinaan, terutama berkaitan infrastruktur, terus memacu pertumbuhan ekonomi walaupun prestasi yang suram untuk semua sektor pasaran, kata Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam.

Dengan mengambil contoh prestasi industri hartanah pada separuh pertama tahun ini, beliau berkata, beberapa projek berkaitan infrastruktur di negara ini terpaksa mengalih tumpuan dalam pembangunan masa depan.

"Lebih banyak aktiviti dijangka di sepanjang laluan pengangkutan kerana lebih banyak segmen penduduk menggunakan pengangkutan transit awam berikutan masa perjalanan yang lebih pendek.

"Pemeteraian memorandum persefahaman di antara Malaysia dan Singapura baru-baru ini untuk kereta api laju menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura adalah satu berita yang disambut baik, membawa projek penting berkenaan satu langkah menghampiri realiti.

"Dengan fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang dijadual beroperasi pada akhir tahun ini, penduduk di Lembah Klang akan mengalami peningkatan mobiliti," katanya dalam satu kenyataan sempena laporan yang dikeluarkan syarikat itu bertajuk, 'Sorotan Penting Hartanah Knight Frank Malaysia Untuk Separuh Pertama 2016'.

Laporan itu mendedahkan yang pasaran kondominium mewah di Kuala Lumpur adalah lembap dengan volum dan nilai transaksi yang lebih rendah dicatat pada separuh pertama tahun ini.

Pemaju menggunakan strategi pasaran inovatif bagi merangsang jualan projek terpilih dan meningkatkan pendapatan.

"Bagi pasaran pejabat di Kuala Lumpur dan di luar Kuala Lumpur (Selangor), lebih banyak syarikat multinasional daripada sektor marin dan luar pesisir mungkin tertarik untuk berpindah ke Kuala Lumpur, berikutan pertukaran mata wang yang menarik serta kadar sewa yang kompetitif.

"Ini diterjemahkan kepada kos operasi lebih rendah selain dekat dengan pelanggan," katanya.

Sementara itu, pengguna pasaran runcit di Lembah Klang terus mengurangkan belanja semasa tempoh kajian dan ini terbukti dengan data pertumbuhan jualan runcit yang lebih lemah -4.4 peratus berbanding 1.3 peratus pada suku terakhir 2015.

Laporan itu berkata, peluang masih wujud walaupun secara keseluruhannya negatif, terutama di kawasan terpilihdan sedang membangun, tetapi ramai penduduk.

Artikel Lain