suria

Pendapatan Chicken Cottage Di UK Dan Eropah Meningkat - MB

KUALA TERENGGANU: Pendapatan hasil restoran makanan segera Chicken Cottage milik kerajaan negeri di United Kingdom dan Eropah meningkat 18 peratus tahun lepas berbanding tahun 2014.

Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, pendapatan operasi di 88 outlet restoran makanan segera itu di United Kingdom dan Eropah ialah sebanyak2.437juta pound berbanding 2.073 juta pound pada 2014."Bermakna kita telah memperolehi keuntungan sebanyak 364,378 pounds iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus.

"Memang bukan sesuatu yang mudah untuk kita uruskan restoran makanan segera dari luar negara untuk dibawa masuk ke negara kita, namun peningkatan pendapatan hasil operasiitu menunjukkan sesuatu yang positif.

"Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan pembukaan 10 outlet baharu restoran makanan segera Chicken Cottage di United Kingdom dan Eropah dalam tempoh tiga tahun lagi dan 50 outlet baharu di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) yang mahu tahu perkembangan Chicken Cottage di United Kingdom dan Eropah serta cadangan Terengganu untuk membuka lebih banyak Outlet restoran makanan segera itu di seluruh negara pada masa akan datang.

Ketika ini, terdapat 104 outlet Chicken Cottage di seluruh dunia termasuk 88 outlet di United Kingdom dan Eropah manakala 16 lagi di negara lain iaitu masing-masing lima outlet di Iraq dan Pakistan dan masing-masing satu di Kanada, Belgium, Itali, Algeria, Libya dan Malaysia (Kuala Terengganu).

Ahmad Razif berkata antara lokasi yang dikenal pasti unuk diwujudkan premis Chicken Cottage ialah Lembah Klang, Johor, Melaka dan Pulau Pinang.

Kerajaan negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn Bhd telah mengambil alih 70 peratus saham Chicken Cottage dengan pelaburan lebih RM20 juta pada penghujung tahun 2014 lalu.

Ia selaras hasrat kerajaan negeri yang mahu membuat pelaburan dalam industri makanan halal terkenal itu selain menambah pendapatan dari sektor restoran makanan segera.

Chicken Cottage

Artikel Lain