suria

Ambank Islamic Tumpu Pembiayaan PKS Bagi Tingkatkan Keuntungan

KUALA LUMPUR: Ambank Islamic kini menumpukan segmen pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan keuntungan bank berkenaan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eqhwan Mokhzanee Muhammad berkata pembiayaan PKS itu hanya meliputi kira-kira 10 peratus daripada portfolio Ambank Islamic dan menyasarkan angka itu dapat dilipatgandakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

"Margin pembiayaan PKS adalah lebih menarik. Jika kita mampu mengendalikan pertumbuhan portfolio pembiayaan secara menyeluruh tetapi menggabungkannya dengan komposisi pelanggan yang lebih menguntungkan, ia pasti memberi pulangan lebih baik kepada para pemegang saham kami.

"Satu lagi perkara positif mengenai PKS ini adalah keupayaan untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan daripada pembiayaan, tetapi juga pendapatan tambahan hasil daripada perniagaan itu," katanya kepada wartawan selepas menandatangani perjanjian portfolio dengan Presiden/CEO Credit Growth Corporation Malaysia Bhd (CGC) Mohd Zamree Mohd Ishak.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Pengerusi Ambank Group Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi CGC Datuk Agil Natt dan CEO Ambank Group Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

Jaminan portfolio kolaboratif itu akan menyaksikan akses tambahan modal kerja sebanyak RM300 juta diagihkan kepada pelanggan PKS yang berkelayakan tetapi kekurangan cagaran.

Ia juga adalah susulan daripada Dana Skim Jaminan Portfolio sebanyak RM300 juta yang dilancarkan oleh Ambank Group dan CGC pada tahun lepas.

Ambank

Artikel Lain