suria

Mah Sing Labur RM5 Bilion Bangunkan Meridin East

JOHOR BARU: Mah Sing Group melabur sebanyak RM5 bilion bagi membangunkan Bandar Baru Meridin East di kawasan seluas 531.35 hektar di Kong Kong, Pasir Gudang, dekat sini.

Projek melibatkan lima fasa pembangunan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 15 tahun.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek yang sedang dilaksanakan di timur Johor itu mampu menambah baik kehidupan rakyat.

"Kita membangunkan sesuatu kawasan dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk alam sekitar, harga rumah yang ditawarkan dan sistem pengangkutan," katanya pada majlis pembukaan Galeri Jualan dan Rumah Contoh Meridin East di Pasir Gudang, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Mah Sing Group Tan Sri Yaacob Mat Zain.

Mohamed Khalid turut menggesa pemaju mengambil serius soal pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), rumah pakej A dan Pakej B secara serentak. 

"Ia bagi menarik tumpuan rakyat untuk berhijah ke Johor Bahru Timur terutama dengan cadangan mewujudkan teksi air dan menjadinya lokasi yang strategik."

"Selain penyediaan rumah, beberapa aspek lain seperti pengangkutan dan pendidikan harus diambil kira untuk menjadikan Wilayah Iskandar sebagai kawasan yang lengkap," kata beliau.

Di bawah projek Meridin East, Mah Sing telah melancarkan 'Greenway' dan 'Eden' iaitu rumah teres dua tingkat yang masing-masing mempunyai 161 unit.-- Bernama



Mah Sing, Meridin East, Kong Kong

Artikel Lain