suria

Industri Francais Tidak Terganggu Dengan Cabaran Ekonomi

Datuk Seri Dr Richard Ong

KUALA LUMPUR: Industri francais terus berada pada  laluan pertumbuhan yang kukuh berdasarkan perkembangan sebanyak 15 hingga 20 produk francais baharu di dalam dan luar negara, walaupun iklim ekonomi yang mencabar.

"Industri ini terus kekal positif. Banyak jenama Malaysia sedang berkembang ke luar negara," kata Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Seri Dr Richard Ong kepada pemberita pada Anugerah Francais Malaysia 2016 di sini, Khamis.

Kejayaan itu disebabkan oleh usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi mempromosikan sektor berkenaan dalam pelbagai acara, latihan dan pameran.

"Kami percaya industri ini akan terus berkembang kukuh," kata Ong.

Sehingga kini, industri tersebut menyumbang sebanyak 50 peratus hingga 60 peratus kepada ekonomi negara pada setiap tahun, terutamanya melalui sektor makanan dan minuman, diikuti oleh sektor perkhidmatan.

Ong berkata MFA telah menyertai pameran francais Filiphina baru-baru ini dan akan berada di Australia dalam bulan depan untuk mempamerkan produk-produk yang menepati piawaian antarabangsa.

"Pada masa yang sama, kami akan mempromosikan produk-produk francais kami di China, Singapura dan Timur Tengah serta ke rantau yang lain," katanya.

MFA mempunyai 330 anggota, yang merangkumi pemberi dan penerima francais  yang terlibat dalam perniagaan makanan, pakaian, aksesori, perkhidmatan, penyelenggaraan, penjagaan anak, pendidikan pra-sekolah, penjagaan kesihatan dan runcit.

Sementara itu, Anugerah Francais 2016, yang akan diadakan pada 11 Nov, bertujuan untuk mengiktiraf usahawan mikro yang telah menyumbang kepada industri francais di negara ini.

Tahun ini, sebanyak 17 anugerah akan diberi kepada usahawan francais bermula daripada anugerah 'Francais Terbaik Tahun Ini' sehingga kepada anugerah 'Penghargaan Khas'.

Francais

Artikel Lain