Bina Darulaman Akan Lancar Hartanah GDV RM488 Juta

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2016 7:00 PM

Izham Yusoff

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:Pemaju hartanah berpangkalan di Kedah,  Bina Darulaman Bhd kini dalam proses untuk melancarkan beberapa projek hartanah baharu pada September ini yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM488 juta.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Izham Yusoff berkata projek-projek baharu itu terletak di lokasi pembangunan perbandaran sedia ada seperti Bandar Darulaman di Jitra melibatkan GDV RM333 juta, Darulaman Perdana di Sungai Petani (RM125 juta) dan Darulaman Utama di Kuala Ketil (RM30 juta).

Izham berkata, projek itu turut membabitkan kediaman mampu milik serta mewah berharga di bawah RM200,000 sehingga RM1.2 juta. 

"Kami berpendapat pasaran hartanah akan mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun ini berikutan peningkatan kuasa belian dan sentimen pengguna. Ia susulan pengumuman Bank Negara Malaysia untuk menurunkan kadar asas semalaman, baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi mudah alih BDB Land, di sini, Khamis, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Aplikasi 'Mai Beli Rumah' itu bertujuan memberi kemudahan kepada para pelanggan syarikat itu, termasuk memaparkan maklumat mengenai tawaran produk serta harga, reka bentuk dan spesifikasinya.

Izham turut berkongsi pandangan optimis kumpulan itu yang kekal positif terhadap daya tahan pasaran hartanah di Kedah dengan permintaan terhadap aset itu terus kukuh, khususnya bagi kategori rumah sedia ada atau yang berpenghuni.

Mengulas projek yang akan dilancarkan itu, beliau berkata pembinaannya dijangka dapat dilaksanakan pada tahun depan.

Izham berkata Bina Darulaman akan turut melancarkan dua projek baharu, Panorama Darulaman dan Simfoni Darulaman di perbandaran utamanya, Bandar Darulaman, pada masa akan datang. 

Panorama Darulaman merangkumi 181 unit kediaman bercampur banglo dua tingkat manakala Simfoni Darulaman pula jenis teres, termasuk unit teres laman dalaman terhad yang masih baharu untuk pasaran Kedah.

"Kami amat teruja dengan projek-projek baharu di Panorama Darulaman dan Simfoni Darulaman yang mencerminkan hala tuju kumpulan ini.

"Kami juga akan terus menawarkan produk-produk inovatif ke dalam pasaran Kedah serta menawarkan hartanah gaya hidup bukan sahaja untuk kalangan warga bandar yang mahukan keseimbangan antara kerja dan kehidupan, tetapi turut membabitkan produk sofistikated dan mewah," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Bina Darulaman , Kedah , Izham Yusoff

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan