suria

Perodua Jangka Jualan Lebih Tinggi

Datuk Dr Aminar Rashid Salleh

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengekalkan sasaran jualan 216,000 unit pada 2016, dengan berkata, ia bersedia meningkatkan jualan kepada 118,600 pada separuh kedua tahun ini daripada 97,400 unit yang dijual pada enam bulan pertama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, separuh kedua masih mencabar, menyebabkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak semula unjuran jumlah volum industri (TIV).

"Tetapi kami berharap model Bezza akan merangsang kembali minat orang ramai untuk membeli. Jumlah tempahan ketika ini nampak menggalakan.

"Sekarang kami mempunyai empat model berkualiti tetapi pada harga berpatutan. Kami berharap dengan pakej yang betul pada masa sukar ini, orang ramai akan memilih jenama kami," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

MAA baru-baru ini menyemak semula unjuran TIV 2016 kepada 580,000 unit berbanding 650,000 sebelum ini disebabkan jualan kenderaan yang rendah pada separuh pertama.

Bagaimanapun, Aminar Rashid optimis dengan berkata, jualan Perodua pada separuh kedua boleh diterajui oleh model kenderaan cekap tenaga (EEV), iaitu Bezza dan Axia serta dengan unjuran TIV yang lebih rendah, penguasaan pasaran syarikat mungkin meningkat kepada 37 peratus daripada 35.5 peratus ketika ini.

Menurutnya, tempahan untuk Bezza mencatat purata 1,000 kereta sehari sejak dibuka pada 16 Julai dan syarikat merancang memenuhi permintaan dengan stok kenderaan sedia ada.

Sehingga pagi ini, tempahan untuk sedan EEV baru itu telah mencapai 10,115 unit, dengan 500 penyerahan dibuat sejak dilancar pada 21 Julai.

"Kami memulakan pengeluaran besar-besaran Bezza pada Jun dan menjelang kahir bulan ini kami menjangka 9,000 unit bersedia untuk diserah ke seluruh negara.

"Kami akan melakukan yang terbaik agar penyerahan dibuat pada masanya bagi memastikan kepuasan pelanggan," kata Aminar Rashid.

Mengenai model lain, untuk separuh pertama tahun ini, syarikat kereta kompak negara itu menjual 51,100 unit, dengan Axia menyumbang 52 peratus, Myvi 29 peratus dan Alza 19 peratus.

Aminar Rashid berkata, walaupun mungkin terdapat kejatuhan jualan Myvi serta Alza, usaha mewujudkan pakej boleh mengurangkan kesan itu.

Sementara itu, untuk bahagian selepas jualan, Perodua menyaksikan satu juta kenderaan mengunjungi 186 pusat servisnya di seluruh negara, meningkat lima peratus berbanding 965,000 kenderaan dalam tempoh sama tahun lepas.

Pendapatan meningkat kepada RM330 juta pada enam bulan pertama 2016, naik 13 peratus berbanding RM293 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Jualan barangan komponen (termasuk aksesori) pada separuh pertama 2016 meningkat lima peratus kepada RM126 juta berbanding RM120 juta dalam tempoh yang sama 2015.

"Kami berharap orang ramai akan mengunjungi mana-mana 181 bilik pameran jualan kami di seluruh negara untuk memandu uji Perodua Bezza serta model kami yang lain," kata Aminar Rashid.

Perodua, Bezza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain