suria

Ringgit Tidak Menentu Minggu Depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka turun naik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan harga minyak dan komoditi global yang tidak menentu.

Bagaimanapun kadar inflasi Malaysia yang sederhana akan mengurangkan kesan ke atas mata wang tempatan itu, kata peniaga.

"Ketika ini ringgit telah melepasi paras psikolgi kepada 4.07, oleh itu ia dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan," kata Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Sementara itu, dalam nota Hong Leong Bank, ia mengekalkan prestasi bulis ringgit berbanding dolar disebabkan kemerosotan selera risiko.

"Walaupun terdapat kemungkinan pengurangan berterusan selera risiko, kami berpendapat pengelakan risiko dalam dolar sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan laporan produk domestik kasar AS akan memberi sokongan kepada ringgit.

Pada minggu akan datang, akan terdapat satu lagi mesyuarat FOMC untuk menentukan kadar faedah di samping pengeluaran laporan KDNK AS bagi suku kedua.

Pada minggu baru berakhir, ringgit diniagakan lebih rendah.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan itu merosot kepada 4.0535/0595 berbanding dolar AS daripada 3.9450/9500 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga ditutup lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9891/9937 daripada 2.9335/9381, susut berbanding yen kepada 3.8223/8290 daripada 3.7242/7306 dan turun berbanding euro kepada 4.4686/4768 daripada 4.3935/3007 sebelum ini.

Berbanding pound Britain ia berkurang kepada 5.3194/3281 daripada 5.2918/2009. - BERNAMA

ringgit, dolar AS

Artikel Lain