suria

MK Land Lancar Projek Terakhir Di Damansara Damai

PETALING JAYA: MK Land Holdings Bhd (MK Land), melalui anak syarikatnya, Medan Prestasi Sdn Bhd (MPSB) melancarkan jualan fasa satu kondominium 'Residensi Suasana @ Damai', projek yang merupakan sentuhan terakhir kumpulan tersebut di Damansara Damai di sini.

Jualan pada hari pelancaran mencecah 65 peratus daripada 260 unit pegangan pajakan yang ditawarkan fasa satu.

Jumlah keseluruhan unit bagi tiga fasa ialah 780 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM400 juta.

Pengasas utama MK Land, Tan Sri Mustapha Abu Bakar mengesahkan bahawa projek 'Residensi Suasana @ Damai' merupakan sentuhan terakhir kumpulan tersebut untuk perbandaran itu yang dimulakan sejak 1998.

"Kami pada hari ini membuktikan bahawa projek penswastaan perumahan negeri Selangor yang diamanahkan sejak 1998 telah dilengkapkan di atas tanah seluas 161.87 hektar di Damansara Damai ini.

"Residensi Suasana @ Damai dengan GDV RM400 juta melengkapkan sasaran asal 19,659 unit rumah dengan GDV 2.0 bilion yang kami usahakan sejak 1998," kata beliau kepada Bernama selepas merasmikan majlis pelancaran jualan tersebut.

Residensi Suasana @ Damai yang terletak hampir 800 meter dari Stesen MRT Damansara Damai yang bakal didirikan, menawarkan diskaun 17 peratus daripada harga RM450,300 pada masa yang terhad. Keseluruhan tiga fasa projek ini dijangka siap pada 2019.

Mustapha pada sidang akhbar berkata, kejayaan membangunkan rumah mampu milik pada pelbagai harga yang munasabah seperti di Damansara Damai boleh diulangi oleh kumpulan MK Land sekiranya diberi peluang.

"MK Land telah membuktikan keberkesanan pendekatan yang diambil kerajaan Selangor (tahun 1998). Pelbagai jenis rumah mampu milik pada harga asal yang menarik telah berjaya disiapkan sebagaimana sasaran. Antara harga rumah mampu milik yang telah dilengkapkan adalah serendah RM25,000," kata beliau.

Statistik yang dikongsikan menunjukkan MK Land telah menyiapkan 15,579 unit rumah dengan GDV 1.6 bllion di Damansara Damai, yang merangkumi 6,867 unit rumah kos rendah yang berharga asal antara RM25,000 hingga RM42,000, 2,178 unit rumah kos sederhana rendah (RM60,000 hingga RM80,000), 2,179 unit rumah kos sederhana (RM81,000 hingga RM200,000) dan 3,145 unit rumah mewah (sekitar RM400,000).

Menjawab pertanyaan mengenai penukaran status tanah, Mustapha berkata permintaan penukaran status pegangan pajakan kepada pegangan bebas untuk perumahan di Damansara Damai boleh dibawa untuk pertimbangan kerajaan negeri.

Mustapa juga menegaskan bahawa empat hutan bandar berkeluasan 16.18 hektar dalam kawasan Damansara Damai akan kekal tidak terusik untuk projek komersial malah penyelenggaraan yang lebih terancang akan diumumkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya tidak lama lagi.-- Bernama



MK Land, Damansara Damai

Artikel Berikut

Artikel Lain