Pengurangan OPR Mampu Redakan Pasaran Ketika Ekonomi Tidak Menentu

Diterbitkan: Ahad, 17 Julai 2016 4:09 PM

Johari Abdul Ghani.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Langkah mengejut Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) daripada 3.25 peratus kepada 3.00 peratus, mampu meredakan pasaran ketika keadaan ekonomi negara tidak menentu, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata walaupun keputusan pengurangan itu tidak dijangka tetapi langkah berkenaan akan membantu mengurangkan kos dana serta menggalakkan pelaburan dan perbelanjaan pengguna.

Menurutnya, perkara itu sekali gus akan meningkatkan aktiviti ekonomi yang membawa kepada pengembangan ekonomi domestik.

"Bank Negara telah mengkaji dengan terperinci sebelum mengambil langkah ini.

"Walaupun pengurangan tidak dijangka, pengurangannya tidak besar hanya 0.25 peratus, dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu, kita kena pastikan agar perbelanjaan domestik tidak terjejas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Rakyat dan Kempen Jalur Gemilang di sini, Ahad.

Semasa mengumumkan pengurangan tersebut pada Rabu, BNM menyatakan pelarasan terhadap OPR itu bertujuan memastikan tahap akomodatif monetari kekal konsisten dengan pendirian dasar bagi memastikan ekonomi dalam negeri terus berada pada landasan pertumbuhan yang mampan dalam keadaan inflasi yang stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan yang kukuh dalam ekonomi.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama pada Khamis, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim berkata keputusan untuk menurunkan OPR merupakan langkah awal untuk memastikan ekonomi terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil.

Johari berkata pengurangan OPR ini tidak mempunyai kaitan dengan kenaikan atau kejatuhan nilai mata wang negara pada ketika ini, sebaliknya OPR hanya memberi kesan positif kepada pengguna untuk berbelanja.

"Apa yang dilihat dalam mata wang kita sekarang ini mencerminkan asas ekonomi, dan pada masa ini kita banyak kehilangan hasil daripada industri minyak dan masyarakat antarabangsa melihat kita sudah kehilangan hasil sebanyak RM30 bilion dalam tempoh satu setengah tahun," katanya lagi.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan majlis itu Johari berkata rakyat di negara ini tidak boleh 'lepas tangan' dengan membiarkan pihak keselamatan sahaja yang menjaga keselamatan negara.

"Tetapi sebagai penduduk Malaysia, (kita) mestilah memainkan peranan untuk menjaga keselamatan dalam negara. Kalau kita lihat ada orang-orang tertentu yang cuba membawa anasir-anasir keganasan seperti Daesh perlu laporkan segera kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil," katanya.

Tags / Kata Kunci: BNM , OPR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan