suria

PPNJ Bina Dua Kilang Fiber Proses Semula Tandan Sawit

KOTA TINGGI: Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) akan membina dua kilang fiber di Kluang dan Segamat bagi memproses semula tandan kelapa sawit untuk dijadikan sofa dan tilam bagi pasaran eksport.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNJ Datuk Saipolbahri Suib berkata pembukaan kilang di Kahang dekat Kluang dan Bukit Bujang dekat Segamat itu dijangka dapat menjana pendapatan sehingga RM1 juta sebulan bagi setiap kilang, dalam tempoh lima tahun.

"Sasaran kita adalah membina kilang fiber tandan kelapa sawit yang tidak digunakan untuk diproses menjadi fiber yang kemudian dijadikan barang seperti tilam dan sofa untuk dieksport ke China," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPK Kota Tinggi, di Taman Kota Jaya, di sini, Rabu.

Beliau berkata pembinaan kilang bernilai kira-kira RM7 juta termasuk mesin yang menggunakan teknologi tinggi itu dijangka siap dalam tahun ini dan kini proses meratakan tapak kilang sedang dijalankan.

Menurutnya, PPNJ mengorak langkah dalam usaha meningkatkan pendapatan pertubuhan berkenaan sekali gus memberi impak positif kepada 29 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) negeri ini yang menghasilkan pengeluaran kelapa sawit.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berkata, pembinaan kedua-dua kilang fiber berkenaan diyakini dapat mengatasi masalah pencemaran akibat lambakan tandan kelapa sawit yang sudah digunakan.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pekebun dan peladang supaya menjual kelapa sawit menerusi 29 PPK di seluruh Johor bagi memudahkan usaha memproses tandan kelapa sawit berkenaan.

PPNJ

Artikel Berikut

Artikel Lain