suria

Akma Tani Sasar Jual Daging Kambing Segar Jenama Sendiri

KULAI: Akma Tani Enterprise, pembekal dan penternak kambing import, menyasarkan untuk memasarkan daging kambing dan kambing biri-biri segar di bawah jenama sendiri dalam masa lima tahun akan datang.

Pemilik dan pengasasnya, Noor Akma Walid berkata sasaran itu, khususnya bagi pasaran Semenanjung Malaysia dibuat berdasarkan permintaan serta sambutan baik terhadap daging ternakan berkenaan.

Pada masa ini pihaknya mengimport sebanyak 100 ekor ternakan itu setiap dua minggu untuk dijual terus kepada pembeli pada harga RM700 hingga RM1,000 seekor.

"Selain itu, kami turut mengimport sebanyak 500 hingga 2,000 ekor kambing sebulan untuk dibekalkan kepada pengusaha ternakan kambing di Semenanjung Malaysia," katanya kepada Bernama di ladangnya yang berkeluasan 3.2 hektar di Kampung Melayu Seelong, Senai, dekat sini, baru-baru ini.

Malah, yakin dengan potensi dan permintaan daging kambing dan biri-biri itu  turut menjadi antara alasan Noor Akma sanggup melepaskan kerjayanya sebagai jurutera kimia di sebuah syarikat Jepun untuk bergelar sebagai usahawan kambing.

Mengulas harga ternakan itu, beliau berkata harga kambing yang dibeli pengusaha lazimnya jauh lebih murah berbanding harga jualan berikutan pembelian secara pukal iaitu antara RM550 hingga RM700 seekor, bergantung kepada saiz kambing berkenaan.

Noor Akma juga bercadang untuk menambah baik ladangnya selain meninjau  peluang membeli tanah lain sejajar perkembangan positif perniagaannya itu.

Mengimbau detik memulakan perniagaannya, beliau berkata ia bermula pada tahun 2011 dengan hanya berbekalkan modal sebanyak RM 100,000.

Usahanya terbukti berhasil apabila syarikat itu mampu menjana keuntungan bersih yang mencecah sehingga RM10,000 sebulan.

Selain membekalkan daging segar, Akma Tani turut melakukan aktiviti penyembelihan, melapah serta menyediakan pakej katering.

Antara usaha syarikat itu yang mendapat permintaan tinggi adalah menu kambing golek ketika musim perayaan khususnya Aidilfitri yang berharga RM1,300 bagi setiap set.

Akma Tani

Artikel Lain