suria

AirAsia X Raih Dua Anugerah

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd merangkul dua anugerah bagi tahun kempat berturut-turut pada majlis anugerah Skytrax World Airline 2016 di Pameran Udara Antarabangsa Farnborough.

Syarikat penerbangan tambang murah perjalanan jauh itu sekali lagi dinobatkan sebagai 'Kabin Premium Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia' dan 'Tempat Duduk Premium Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia'.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, AirAsia X berkata anugerah Skytrax merupakan penanda aras global kecemerlangan syarikat penerbangan dengan lebih 19 juta pelanggan dikaji di seluruh dunia, menilai standard dalam 41 petunjuk prestasi utama produk dan perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan.

"AirAsia X sentiasa menambah baik pengalaman kabinnya dan anugerah ini menunjukkan perkhidmatan premium kami bukan sahaja yang terbaik tetapi juga sebaik dengan mana-mana syarikat penerbangan dengan perkhidmatan sepenuhnya," kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun.

Ia berkata AirAsia X Premium Flatbeds menawarkan pelbagai keselesaan dan utiliti peribadi seperti tempat letak kepala boleh laras dan skrin peribadi.

Penumpang dengan Premium Flatbed juga boleh menikmati perkhidmatan dan produk premium termasuk daftar masuk keutamaan serta elaun bagasi 40 kilogram, makanan, bantal dan duvet. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain