suria

Boeing, Standard Chartered Umum Tempah 10 Pesawat

KUALA LUMPUR: Boeing dan Standard Chartered Bank mengumumkan tempahan bagi 10 pesawat Next-Generation 737-800, bernilai US$960 juta (US$1=RM4.00), pada harga senarai semasa.

Pengumuman berkenaan dibuat di Pameran Udara Antarabangsa Farnborough 2016, United Kingdom dan tempahan itu dibuat di laman web syarikat, demikian menurut Boeing dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Selasa.

Ketua Pembiayaan Penerbangan Standard Chartered Kieran Corr berkata kumpulan perbankan itu komited untuk terus mengembang dan mempelbagaikan asas pelanggannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Kami melabur untuk memanfaat keupayaan pemajakan global kami bagi menunjukkan komitmen kami kepada pelanggan utama dengan menyediakan pesawat pajakan bagi memenuhi peningkatan permintaan trafik udara di beberapa rantau yang berkembang pesat di dunia," katanya.

Melalui penyerahan sepanjang 2018, pesawat Boeing Next-Generation 737-800 baru ini akan membantu memenuhi permintaan pelanggan dalam jangka terdekat serta memperluaskan asas pelanggan di pasaran seperti timur laut Asia, kata Corr.

"Pasaran utama kami ialah Asia, Afrika dan Timur Tengah, dengan tumpuan terhadap pasaran pesat membangun. Kami mahu membantu sektor penerbangan berkembang di pasaran berkenaan bagi memacu pelaburan dan perdagangan serantau dan kami hanya boleh berbuat demikian dengan memperluaskan kumpulan pelbagai pesawat," katanya.

Portfolio semasanya terdiri daripada lebih 110 pesawat dalam pajakan kepada pelanggan syarikat penerbangan seluruh dunia.

Perniagaan penerbangan Standard Chartered merupakan penyedia utama penyelesaian yang cekap dari segi kos, berasaskan pajakan dan pembiayaan berasaskan aset dengan pasukan pakar di Dublin, London, Hong Kong dan Singapura.

Produknya termasuk jualan dan pajakan semula, pajakan pembiayaan pesawat, pajakan pembiayaan Islam, pasaran modal dan penasihat kredit eksport.

Boeing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain