suria

Sektor Pelaburan, Pelancongan Tidak Terjejas Dengan Ancaman Militan

Datuk Seri Mustapa Mohamed.

TANAH MERAH: Sektor pelaburan dan pelancongan Malaysia tidak terjejas walaupun wujud ancaman kumpulan militan Daesh, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata keyakinan pelabur dan pelancong untuk terus datang ke Malaysia masih tinggi kerana negara ini terkenal dengan kestabilan politik dan ekonomi yang dijana menerusi perpaduan serta toleransi penduduknya yang berbilang kaum dan agama.

"Setakat ini, Malaysia tak terjejas (dengan ancaman militan Daesh). Kita masih terkenal dengan negara yang aman makmur dan kita tak mahu imej ini tercalar dengan tindak tanduk sebuah kumpulan ekstremis yang nak menghancurkan negara kita.

"Kita tak rela negara kita dihancurkan oleh kumpulan ini...setakat ini sektor pelaburan dan pelancongan tak terjejas dan kita doakan supaya keadaan terus terkawal," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Darul Falah, Batu 10 di sini, Jumaat.

Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor didalangi kumpulan militan Daesh atas arahan anggota kumpulan pengganas rakyat Malaysia di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

Siasatan awal polis mendapati dua lelaki tempatan yang ditahan pada 1 Julai lepas berhubung insiden itu memperoleh bom tangan itu dari negara jiran.

Mustapa berkata isu keselamatan tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kerana ia bakal memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara pada masa depan jika tidak dipertahankan.

"Kalau kita porak peranda, kalau negara kita huru hara, kalau kita bertelagah sesama sendiri, kalau kita berperang sesama sendiri maka ini akan melemahkan perpaduan dan ekonomi kita.

"Kita tak mahu negara kita berada dalam satu keadaan yang sukar untuk kita pulihkan. Kita kena jaga sebelum ia berlaku," katanya.

Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Lain