suria

Fama Sasar Jualan RM4.2 Juta Sempena Aidilfitri Di 22 Lokasi

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak menandatangani poster program Perasmian Karnival Industri Asas Tani Sempena Aidilfitri di Dataran Menara Condong Teluk Intan. Turut hadir Pengarah FAMA Perak Basri Jasmo (tiga,kiri). Seramai 30 usahawan asas tani menyertai karnival dua minggu sejak 22 Jun lalu.

TELUK INTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan jualan RM4.2 juta daripada penganjuran Karnival Industri Asas Tani (IAT) bersempena Aidilfitri yang kini berlangsung di 22 lokasi.

Ketua Pengarah Fama Datuk Ahmad Ishak berkata sasaran itu yakin dicapai berdasarkan nilai jualan pada tahun lepas sebanyak RM2.5 juta menerusi penyertaan di 11 buah lokasi berbanding 22 lokasi pada tahun ini.

"Untuk tahun ini, sebanyak 421 peserta seluruh negara menyertai IAT sempena Aidilfitri dan dalam usaha meningkatkan jualan, produk yang dihasilkan akan kita pastikan ia berkualiti, pembungkusan lebih menarik, terjamin bersih dan halal.

"Ini kerana kita mahu hasil produk usahawan kita setanding dengan produk sedia ada di pasaran selain mampu menembusi pasaran antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival IAT peringkat negeri di Dataran Menara Condong di sini, Ahad. Turut hadir Pengarah Fama Perak, Basri Jasmo.

Ahmad berkata, FAMA telah berjaya melahirkan sebanyak 6,000 usahawan IAT di seluruh negara dalam usaha memperkasakan ekonomi mereka selain menyumbang kepada agenda pembangunan negara khususnya dari segi peningkatan ekonomi dan pembangunan usahawan serta menangani kos sara hidup rakyat.

"Kita sering membimbing usahawan ini agar mereka dapat 'menaiktarafkan' jualan PKS mereka daripada paras 1 sehingga ke paras 6, pengukuran dari segi nilai jualan.

"Ini kerana buat masa ini kira-kira 90 peratus usahawan kita masih berlegar dalam paras PKS 1 iaitu jualan tidak melebihi RM100,000 setahun," katanya.

Bagi karnival IAT di Dataran Menara Condong sejak diperkenalkan 10 tahun lalu, katanya setakat ini telah mencatatkan jualan bernilai RM4,026,120 membabitkan 247 peserta.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sasaran jualan hasil penganjuran 274 pasar tani khas pra-Syawal seluruh negara selama enam hari hingga Selasa ini (5 Julai), Ahmad berkata pihaknya menjangkakan kira-kira RM50 juta akan dicatatkan.

"Kita wujudkan pasar tani khas sempena raya ini dengan membawa jualan para pengusaha, petani dan penternak terus kepada pengguna dengan harga berpatutan dan antara 5 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa," katanya.

Untuk rekod, nilai jualan pasar tani Fama seluruh negara mencatat perolehan hasil keseluruhan RM1 bilion setahun.-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain