suria

Syarikat Korea-UEM Land Meterai Urus Niaga, Labur RM691 Juta Di Iskandar Puteri

KUALA LUMPUR: Syarikat Korea Selatan, Amorepacific Corporation, merancang untuk melabur RM691 juta untuk membangunkan pusat bersepadu bagi penyelidikan dan pembangunan, pembuatan dan logistik produk kosmetik di Malaysia.

UEM Sunrise, yang merupakan pemaju utama Iskandar Puteri, berkata  AmorePacific menandatangani perjanjian jual beli melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Land Bhd.

Perjanjian itu bagi penjualan sebidang tanah yang terletak dalam Kluster Logistik dan Perusahaan Selatan (SiLC) di Iskandar Puteri, Johor, berukuran 9.45 hektar.

"Dengan penubuhan kemudahan baharu, Amorepacific menjangka untuk mewujudkan antara 300-500 peluang pekerjaan di Iskandar Puteri, antara lima zon utama Iskandar Malaysia," menurut UEM Sunrise dalam kenyataan.

Pengarah Eksekutif Datuk Izzaddin Idris berkata pelaburan langsung daripada syarikat gergasi kosmetik di Korea Selatan itu akan mempunyai kesan "Queen Bee" ke atas SiLC.

Beliau berkata ia akan mewujudkan rantaian tindak balas positif yang akan menarik industri huluan dan hiliran ke rantau ini dan menggalakkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan penduduk di Iskandar Puteri. 

"Kami gembira menandatangani S and P ini yang menjadi petunjuk baik dengan aspirasi SiLC sebagai antara pemangkin utama dalam pelan induk Iskandar Puteri," kata Izzaddin.

SiLC merupakan taman perindustrian berkeluasan 526.09 hektar khusus bagi penubuhan syarikat farmaseutikal, bioteknologi, teknologi terkini dan logistik bersepadu. 

-- Bernama

Artikel Lain