suria

Syarikat Malaysia, Singapura Digalak Manfaatkan Dana MSBDF

JOHOR BARU: Syarikat yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura digalak memanfaatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBDF) sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mengembangkan perniagaan.

Pengarah Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Wilayah Selatan, Raphy Md Radzi, berkata dana itu, yang diwujudkan sejak Julai 2004, masih kurang digunakan.

Dana tersebut, yang mempunyai peruntukan sebanyak RM2.5 juta, ditadbir bersama oleh IE Singapore dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dari Julai 2004 hingga 24 Mei, 2012, sebelum peranan Mida diambil alih oleh Matrade.

"Dana itu bertujuan menggalakkan perniagaan dari Malaysia dan Singapura bekerjasama dan sama-sama mengenal pasti peluang perniagaan dan pelaburan di negara ketiga," katanya kepada Bernama.

Raphy berkata syarikat yang terlibat dalam enam sektor -- pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, perdagangan, pelancongan dan teknologi maklumat -- boleh memohon dana tersebut.

Beliau berkata dana itu boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan misi, penyelidikan pasaran dan kajian daya maju bersama.

Bagi misi bersama, dana itu terbuka kepada persatuan perniagaan dan perusahaan yang mengambil bahagian dalam misi itu untuk mencari peluang perniagaan dan pelaburan di negara ketiga, katanya.

"Mereka boleh memanfaatkan sehingga maksimum RM200,000 yang boleh menampung  antaranya kos perjalanan, penginapan, logistik dan publisiti," katanya.

Bagi penyelidikan pasaran bersama, Raphy berkata ia perlu terlibat sekurang-kurangnya satu persatuan perniagaan dari setiap negara yang menjalankan penyelidikan pasaran untuk menganalisis persekitaran perniagaan, potensi strategi pasaran atau peluang perniagaan bagi pasaran atau industri tertentu.

Katanya bagi tujuan itu, mereka boleh memanfaatkan sehingga maksimum  RM100,000 yang boleh menampung kos perjalanan dan bayaran perunding.

Bagi tujuan kajian daya maju bersama, katanya, syarikat perlu mengenal pasti projek atau syarikat tertentu dan melibatkan perunding untuk menjalankan penyelidikan ke atas potensi perniagaan.

Selain itu, mereka juga boleh melaksanakan carian umum mengenai peluang pelaburan di negara ketiga, kata Raphy.

Mereka yang berminat boleh menghubungi pejabat Matrade yang berhampiran untuk maklumat lanjut atau Pejabat Matrade Wilayah Selatan di talian 07-2229400.

-- Bernama
MSBDF, Malaysia, Singapura, Matrade

Artikel Sebelum

Artikel Lain