Anak Syarikat SapuraKencana Peroleh Kontrak Bernilai RM513 Juta

Diterbitkan: Selasa, 28 Jun 2016 4:36 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh SapuraKencana Petroleum Bhd memperoleh beberapa kontrak baharu dan lanjutan kontrak dengan nilai keseluruhan RM513 juta.

Menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, SapuraKencana Drilling Tioman Sdn Bhd diberi kontrak pembekalan pelantar penggerudian sokongan separa tenggelam 'SKD Berani' oleh Nippon Oil  and  Gas Exploration (Malaysia).

SapuraKencana Drilling turut memperoleh lanjutan kontrak bagi pembekalan pelantar penggerudian sokongan separa tenggelam 'SKD Jaya' daripada BP Trinidad  and Tobago LLC, menurut syarikat itu.

Menurut SapuraKencana, anak syarikatnya yang lain, SapuraKencana HL Sdn Bhd, diberikan kontrak pemerolehan, fabrikasi, pembinaan, pemasangan dan kerja pengoperasian bagi projek menaik taraf kemudahan dan infrastruktur itu daripada BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd.

SapuraKencana HL turut memperoleh kontrak daripada Selex ES Malaysia Sdn Bhd.

"Ia adalah bagi pembekalan reka bentuk kejuruteraan bahagian hadapan (FEED) serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian Sistem Sokongan Gelombang Pendek Radio (RS3) bagi Kemudahan Luar Pesisir Petronas di luar pantai barat Sabah," menurut kumpulan itu.

Sementara itu, SapuraKencana Australia Pty Ltd memperoleh tiga kontrak -- pembekalan pengantaraan telaga ringan daripada Woodside Petroleum Ltd, pembekalan kerja-kerja pemberhentian operasi daripada Woodside Energy Julimar Pty Ltd, dan pembekalan perkhidmatan pengantaraan telaga ringan daripada Shell Australia.

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menyediakan butiran nilai bagi kontrak baharu dan lanjutan kontrak dalam kenyataan berkenaan.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: SapuraKencana , Bursa Malaysia , SKD Berani

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan